Pekerja Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melakukan kerja meningkatkan tahap keselamatan di Jalan Saujana Impian, Kajang bagi mengelakkan kemalangan pada 12 Mac 2021. Foto Facebook MPKj
PBTSELANGOR

MPKj pasang penghadang plastik di Jalan Saujana Impian, elak kemalangan

SHAH ALAM, 18 MAC: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memasang penghadang plastik di atas pembahagi Jalan Saujana Impian, Kajang sementara menunggu status pemilikan laluan tersebut.

Pegawai perhubungan awamnya berkata pemasangan sepanjang 160 meter sebagai langkah jangka pendek susulan aduan pengguna berhubung keadaan keselamatan di jalan terbabit.

“Garisan palang melintang di tapak juga dicat menggunakan ‘hot applied thermoplastic’ bagi memperlahankan kelajuan kenderaan.

Kerja meningkatkan tahap keselamatan di Jalan Saujana Impian, Kajang bagi mengelakkan kemalangan pada 12 Mac 2021. Foto Facebook MPKj

“Justeru, orang ramai dinasihatkan berhati-hati semasa menggunakan laluan tersebut,” kata Kamarul Izlan Sulaiman kepada SelangorKini.

Status pemilikan jalan yang menjadi antara lokasi panas nahas jalan raya belum diputuskan dan sedang dibincangkan bersama Jabatan Kerja Raya serta Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Sebelum ini, penduduk mendakwa jalan itu mempunyai selekoh berbahaya yang boleh mengakibatkan kemalangan namun pihak berkuasa tempatan terbabit tiada kuasa untuk mengubah jajaran laluan tersebut.

Dalam kejadian 8 Mac lalu, sepasang suami isteri meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan van di lokasi terbabit.

Remyzan Baharuddin, 42, dan isterinya, Suzyla Ahmad Dahlan, 40, disahkan maut di lokasi kejadian apabila kereta berlanggar dengan van dari arah bertentangan yang hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan dan memasuki laluan mereka.

Dua anak mangsa, Raiha Syuhaida Remyzan, 13, dan Ra’if Adam Lutfan Remyzan, 7, cedera di kepala dan menerima rawatan di Hospital Kajang.


Pengarang :