Orang ramai membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam pada 6 Mei 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPS tambah sembilan lokasi baharu bazar Ramadan

SHAH ALAM, 22 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menambah sembilan lokasi baharu bazar Ramadan pada tahun ini.

Yang Dipertuanya, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata pertambahan dari 23 lokasi sedia ada itu bagi membolehkan lebih ramai penduduk dapat berniaga.

“Permohonan untuk menjalankan perniagaan boleh dibuat terus kepada ahli majlis dan persatuan yang terlibat,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Shamsul Shahril berkata MPS akan sentiasa memastikan pengunjung dan peniaga bazar Ramadan mengekalkan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang ia beroperasi.

“Untuk itu, bazar anjuran persatuan atau jawatankuasa penduduk (JKP) akan dikawal oleh Rela atau petugas dari persatuan itu sendiri.

“Malah, mereka juga dinasihatkan supaya mengawal lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.

Pada 16 Mac lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bazar Ramadan, Aidilfitri dan solat terawih tahun ini dibenarkan mengikut SOP ketat.

Menurut Ismail Sabri lokasi, jumlah gerai serta saiz tapak dan lain-lain akan ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri masing-masing.

 


Pengarang :