Pengunjung mengamalkan norma baharu operasi pasar malam pada 22 Jun 2020. Foto Facebook Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor
PBTSELANGOR

MPSepang terima 400 permohonan tapak bazar Ramadan

SHAH ALAM, 17 MAC: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menerima kira-kira 400 permohonan tapak bazar Ramadan sejak dibuka secara dalam talian semalam.

Yang Dipertua Dato’ Abd Hamid Hussain berkata jumlah itu membabitkan 13 lokasi dengan 727 tapak bazar yang disediakan tahun ini.

“Permohonan tapak dibuka sehingga 26 Mac ini melalui http://ebazar.mpsepang.gov.my dengan setiap pemohon dibenarkan memilih satu tapak sahaja.

“Kebenaran diberikan kepada warganegara dengan mengemukakan salinan suntikan tifoid dan kursus pengendalian makanan,” katanya kepada SelangorKini.

Abd Hamid menambah pihaknya merangka beberapa cadangan tatacara operasi piawai (SOP) namun ketetapan tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kerajaan Negeri.

“Bazar beroperasi secara penggiliran dengan kapasiti separuh daripada jumlah petak sedia ada, penjarakan satu meter antara meja jualan selain kawalan pengunjung oleh anggota penguat kuasa dan Rela termasuk saringan di pintu masuk,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara tahun ini.

Lokasi bazar Ramadan di Sepang:

1. Cyberjaya
2. Desa Pinggiran Putra
3. Taman Mas
4. Sungai Merab
5. Taman Ambar
6. Dengkil Jaya
7. Sungai Pelek
8. Sepang Putra
9. Kipmall Kota Warisan
10. Taman Putra Perdana
11. Salak
12. Pekan Dengkil
13. Kosmopleks


Pengarang :