Atlet sukan olahraga lari jarak jauh menjalani latihan di Stadium Kota Raja, Klang pada 4 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN /SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MSN Selangor terima dana RM7 juta untuk pembangunan sukan

SHAH ALAM, 28 MAC: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menerima peruntukan tahunan RM7 juta daripada Kerajaan Negeri untuk program pembangunan sukan.

Pengarah eksekutifnya berkata dana digunakan untuk menaik taraf kemudahan, program peringkat akar umbi, pembelian peralatan sukan serta elaun atlet dan jurulatih.

“Peruntukan turut digunakan untuk pembangunan atlet pelapis serta mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi selain sistem sokongan sukan merangkumi peralatan, makanan tambahan, analisa prestasi dan kem motivasi.

“Namun, susulan penularan Covid-19, kita perlu menyemak semula agihan peruntukan melibatkan keperluan luar jangka seperti ujian calitan untuk atlet yang menyertai kejohanan,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini hari ini.

Pada Mac tahun lepas, EXCO sukan berkata sejumlah RM7 juta diperuntuk pada setiap tahun untuk melaksanakan pelbagai program sukan di negeri.

Mohd Khairuddin Othman berkata dana itu disalurkan kepada MSN dengan hampir separuh digunakan untuk persiapan atlet SUKMA.

 


Pengarang :