BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Negeri pertama terap pengarusperdanaan gender

Lonjak martabat wanita

Sempena Hari Wanita pada 8 Mac, wartawan Selangor Journal Sherilyn Pang menemu bual dua EXCO Selangor iaitu Rodziah Ismail dan Dr Siti Mariah Mahmud berkaitan pelbagai isu membabitkan golongan itu.

Wartawan Amin Ridzuan Ishak mengolah semula pandangan mereka.

Pembabitan meluas golongan wanita menerusi bidang pentadbiran dalam pelbagai peringkat di negeri ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Selangor memartabatkan peranan mereka.

Pada masa ini sahaja, 20 peratus ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor dianggotai wanita, Ahli Dewan Negeri (23 peratus) dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (27 peratus).

Meski ada jurang kecil, EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Keusahawanan percaya peranan wanita sentiasa dipertingkat dari semasa ke semasa.

Exco Kerajaan Negeri Rodziah Ismail (dua, kiri) menyerahkan kendera saji kepada penerima Kohijrah di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 10 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN

Penubuhan Institut Wanita Berdaya (IWB), sebuah badan pemikir yang merangka dan memantau dasar bagi menjuarai hal ehwal berkaitan wanita, membuktikan hal itu.

“IWB mengadakan kursus untuk penjawat awam negeri memahami isu berkaitan gender, keadilan dan kesaksamaan,” katanya Rodziah Ismail kepada Selangor Journal.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh memperbaiki kualiti hidup wanita dalam semua aspek. Ia terbukti menerusi pelbagai gerak kerja dan penyaluran bantuan.

Ini terpapar melalui penglibatan mereka dalam sektor ekonomi. Bilangannya kian bertambah, bahkan ada kira-kira 20,000 usahawan wanita daripada 100,000 pengusaha dan syarikat di negeri ini.

Program berteras ekonomi dan kebajikan juga menekankan peranan golongan itu antaranya Niaga Darul Ehsan (NaDI) dan Kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Malah sejak tiga tahun lalu, tumpuan diberi kepada segmen makanan dan minuman kerana majoriti wanita menceburi bidang perniagaan tersebut.

Rodziah juga meneliti pembabitan wanita dalam bidang seni dan kraftangan serta membantu mereka menjalinkan kerjasama dengan jabatan kerajaan juga badan bukan kerajaan.

“Kita berusaha untuk meningkatkan pembabitan wanita dalam semua sektor,” tegas pemimpin wanita itu.

Rodziah juga teruja dengan rancangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk membangunkan bandar mesra wanita sekali gus membantu kaum hawa dalam pemilikan rumah.

Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Memegang portfolio perumahan sejak Oktober tahun lalu, beliau turut berhasrat mengurangkan kadar kemiskinan selain meningkatkan pemilikan kediaman kepada wanita.

“Pasukan saya dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor akan merangka dasar baharu rumah mampu milik di Selangor.

“Dasar Rumah Selangorku 2.0 akan diperbaiki. Saya sedang meneliti aspek berkaitan keperluan golongan wanita. Dasar itu bakal dilancarkan pada suku kedua tahun ini,” kata Rodziah.

Sementara itu, kemerosotan tahap kesaksamaan gender kepada 70.9 peratus di peringkat kebangsaan diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia tahun lalu mendapat perhatian Kerajaan Selangor dan merangka pelbagai strategi untuk mengatasinya.

EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata sejumlah RM71.3 juta disalur Kerajaan Negeri pada tahun ini untuk melaksanakan pelbagai program kebajikan dan pembangunan supaya mereka lebih berdaya saing.

Sebagai permulaan, entiti baharu akan dilancarkan dalam sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat negeri pada 8 Mac yang turut menyaksikan pelancaran pra Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) Hibrid 2021.

HaSSel adalah platform usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) wanita di negeri ini untuk memperkenal produk mereka.

“Dalam ekspo itu akan dirasmikan dua entiti baharu di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita bagi memacu pembangunan wanita selari dengan kemajuan negeri ini,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Selangor Journal.

Tujuh sasaran

Selangor memperkasakan kaum hawa berdasarkan Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017-2020 yang menggariskan lima penumpuan serta tujuh sasaran.

Objektif digariskan termasuk mempromosi sensitiviti gender, melonjak status sosioekonomi, meningkatkan perwakilan dan pembuat dasar dalam kalangan wanita, memperbaiki kesihatan serta memastikan mereka bebas daripada cengkaman keganasan dan ketakutan.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan mengenai Skim Insurans Peduli Sihat pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Hasilnya, kata Dr Siti Mariah, Selangor menjadi negeri pertama menerapkan pengarusperdanaan gender, usaha yang mengangkat martabat wanita sebagai keutamaan.

Pengarusperdanaan gender menyokong dan menggalakkan lebih ramai wanita libatkan diri dalam semua bidang ke arah membina kemajuan Selangor.

Pada masa ini, usaha pengarusperdanaan gender dilaksanakan tiga jawatankuasa iaitu perumahan, kesejahteraan bandar dan pembangunan usahawan; kesihatan awam, perpaduan, pembangunan wanita dan keluarga serta pembangunan modal insan serta belia dan sukan.

“Oleh itu, audit pembangunan kapasiti dan gender akan dilaksanakan manakala Pelan Tindakan Gender dijadikan panduan menentukan hasilnya bagi setiap jabatan.

“Pengarusperdanaan gender akan memastikan pelaksanaan projek, program dan aktiviti berdasarkan kanta gender dan inklusif untuk semua masyarakat di Selangor,” katanya.

Kebajikan dan pemerkasaan wanita turut diterjemah menerusi inisiatif seperti Kad Kasih Ibu Smart Selangor, Institut Wanita Berdaya dan Pusat Wanita Berdaya yang diwujudkan di setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar sambil memegang kad ‘Hentikan Keganasan, Hormat Wanita’ ketika pelancaran 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berdasarkan Gender di Foyer SUK, Shah Alam pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kerajaan Selangor turut memperkenalkan Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) sejak 2019 bagi mencapai sasaran 30 peratus pembuat dasar dalam kalangan wanita dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun.

“Peserta akan bekerjasama dengan ahli parlimen dan Ahli Dewan Negeri wanita untuk menggilap bakat kepimpinan,” katanya yang menjelaskan setakat ini seramai 200 orang menyertai akademi berkenaan.

Selangor juga mengambil inisiatif program pembelajaran sepanjang hayat dengan kerjasama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan terbuka kepada pelajar AKW yang pengajian mereka ditanggung Kerajaan Negeri.

Ia membantu golongan wanita tercicir menyambung pengajian disebabkan faktor ekonomi dan memberi peluang kedua bagi meningkatkan tahap akademik.

“Senarai penerima biasiswa OUM yang pertama akan diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada pada 8 Mac depan,” kata Dr Siti Mariah.

Tingkat pendapatan

Menjana pendapatan golongan wanita menerusi kemahiran turut menjadi fokus antaranya memperkenal Tanjung Suri yang mengetengahkan produk berkualiti tinggi untuk pasaran luar negara.

Dr Siti Mariah Mahmud meluangkan masa meninjau hasil produk selepas Pra Pelancaran Tanjung Suri di Isetan KLCC, Kuala Lumpur pada 8 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Antara lokasi penjualan produknya adalah Isetan, KLCC yang mendapat sambutan menggalakkan.

Setakat ini, 10 jenis produk dikeluarkan 10 jurulatih tempatan dan dihasilkan 100 suri rumah dari keluarga berpendapatan rendah yang bekerja dari rumah.

“Jurulatih dalam kalangan mereka yang berkemahiran manakala peserta pula dari Pusat Wanita Berdaya yang terbaik dan sanggup menjadi perintis projek itu,” katanya.

 

 


Pengarang :