Datin Seri Masdiana Muhamad (tiga, kiri) bergambar bersama penerima Anugerah Wanita Sentosa pada Majlis Minum Petang WOW Sentosa sempena Hari Wanita Sedunia di Kelab Eksekutif Klang pada 20 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENSISELANGOR

NGO wanita digalak jadi sukarelawan bantu cegah Covid-19

KLANG, 20 MAC: Persatuan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO) negeri disaran berganding bahu dalam mengekang penularan Covid-19 tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

Yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor berkata kumpulan itu boleh menjadi sukarelawan untuk mengingatkan masyarakat supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Berdasarkan situasi semasa Covid-19, NGO tidak semestinya terhad pada aktiviti persatuan sebaliknya boleh membantu (menangani pandemik) kerana kita kekurangan sukarelawan.

“Kerajaan Negeri turut menyediakan panduan, malah mereka ini boleh beri peringatan kepada orang awam jika tiada penguat kuasa di satu-satu tempat,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad.

Beliau ditemui pada majlis minum petang anjuran Wonderful of Women (WOW) Dewan Undangan Negeri Sentosa sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di Kelab Eksekutif Klang di sini.

Masdiana berharap WOW yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu mampu mengumpulkan sukarelawan untuk membantu Kerajaan Negeri menangani pandemik seperti dilakukan negara jiran.

“Di Thailand, terdapat kira-kira sejuta sukarelawan bersepakat dengan kerajaan untuk menentang wabak dan buktinya kes Covid-19 di negara itu lebih rendah berbanding Malaysia.

“Justeru, saya percaya sokongan dan penglibatan sukarelawan WOW akan memberi dampak positif terhadap kes dalam negara terutama di Selangor,” katanya lagi.

 


Pengarang :