Kelapa sawit merupakan antara komoditi utama negara. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka hadapi pemulihan teknikal

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan pemulihan teknikal pada minggu depan selepas mengalami kerugian berbanding minggu sebelumnya.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata pasaran minggu depan juga berkemungkinan akan disokong oleh angka eksport yang lebih baik termasuk kenaikan dalam harga minyak mentah.

“Pasaran MSM tempatan dijangka diniagakan berdasarkan asas bulan Mac 2021 sepenuhnya dan data penanaman Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Peniaga Minyak Sawit, David Ng mengunjurkan harga MSM untuk didagangkan dalam jajaran kecil pada aliran kenaikan pada minggu depan berikutan dorongan sentimen eksport yang lebih baik.

Data daripada syarikat pemeriksaan bebas, AmSpec Agri Malaysia yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan eksport produk minyak sawit Malaysia bagi 25 hari pertama Mac 2021 mencecah 1,017,730 tan, naik 10.4 peratus berbanding 921,929 tan yang dihantar semasa 1 hingga 25 Feb, 2021.

Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran diniagakan kebanyakannya lebih rendah, menjejaki prestasi harga minyak kacang soya yang lebih lemah dan prospek pengeluaran yang lebih tinggi pada minggu-minggu akan datang.

Secara mingguan, kontrak niaga hadapan MSM bagi April 2021 meningkat RM12 kepada RM4,025 satu tan, Mei 2021 menokok RM9 kepada RM3,864 satu tan, Jun 2021 merosot RM32 kepada RM3,692 satu tan dan Julai 2021 menurun RM50 kepada RM3,536 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 327,332 lot daripada 376,496 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 268,778 kontrak daripada 256,905 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi April Selatan kekal tidak berubah pada RM4,050 satu tan.

– BERNAMA


Pengarang :