Selangorkini
Kelapa sawit merupakan antara komoditi utama negara. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka lengang minggu depan

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan yang lengang pada minggu depan berikutan sentimen eksport yang lemah.

Menurut Peniaga Minyak Sawit, David Ng, jangkaan stok yang lebih tinggi menjelang pengumuman data rasmi akan menjejaskan harga untuk berlegar antara RM3,650 dan RM3,800 setan.

Sementara itu Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics, Singapura, Dr Sathia Varqa berkata pasaran niaga hadapan MSM akan memberi tumpuan kepada data Lembaga Minyak Sawit Malaysia yang akan dikeluarkan menjelang 10 Mac ini.

”Perhatian pasaran akan tertumpu kepada perubahan pengeluaran minyak sawit pada Februari,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, CGS-CIMB Research menjangkakan harga MSM akan didagangkan antara RM3,200 dan RM3,700 setan pada Mac 2021, disebabkan unjuran inventori rendah di Malaysia serta pemulihan dalam bekalan minyak sawit pada suku kedua 2021

Firma penyelidikan itu menjangkakan inventori minyak sawit Malaysia akan berkembang 7.6 peratus dari bulan ke bulan, tetapi merosot 16.2 peratus dari tahun ke tahun kepada 1.43 juta tan pada akhir Februari 2021 berikutan penurunan pengeluaran yang lebih perlahan berbanding eksport.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran diniagakan kebanyakannya lebih tinggi, menjejaki pengukuhan daripada prestasi harga minyak kacang soya yang lebih baik serta kenaikan semula harga minyak mentah.

Secara mingguan, kontrak niaga hadapan MSM untuk Mac 2021 jatuh RM39 kepada RM3,947 setan, April 2021 adalah RM31 lebih rendah kepada RM3,889 setan, Mei 2021 berkurangan sebanyak RM1 kepada RM3,741 setan dan Jun 2021 susut RM7 kepada RM3,590 setan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 268,358 lot daripada 285,584 lot yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 251,949 kontrak daripada 240,111 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan merosot RM40 kepada RM3,960 setan.

– BERNAMA


Pengarang :