Selangor FC menang 3-1 ke atas pasukan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 6 Mac 2021. Foto: Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Oliver muncul wira Gergasi Merah, tumbangkan Sri Pahang FC 3-1

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Aksi sulung pemain import Selangor FC Oliver Buff ternyata tidak mengecewakan apabila menyumbang dua gol bagi mengesahkan kemenangan 3-1 ke atas pasukan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Pemain berusia 28 tahun dari Switzerland itu meletakkan Gergasi Merah di hadapan dengan 1-0 pada masa kecederaan babak pertama.

Grafik: Selangor FC

Seorang lagi bintang baharu skuad Selangor FC Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-55, sebelum skuad Tok Gajah merapatkan jurang menerusi sepakan percuma Muhamad Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-69.

Gol ketiga Buff pada masa kecederaan mengesahkan Selangor FC meraih tiga mata berharga dalam aksi ketika cuaca hujan malam tadi.

Kempen Liga Malaysia (Liga-M) bermula kelmarin, selepas juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut selepas menang 2-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Sultan Ibrahim dalam suasana norma baharu.

Di Stadium UiTM FC, Shah alam, tuan rumah gagal memanfaat peluang di laman sendiri apabila kecundang 1-2 kepada Terengganu FC (TFC).

Sumber Grafik: MFL

Skuad kendalian Frank Bernhardt terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Mohd Fauzi Abdul Latif pada minit ke-32, namun skuad Penyu bangkit menerusi jaringan penyerang import dari Brazil, David da Silva (76) dan Mohamad Hakimi Abdullah (87).

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, pasukan Melaka United bangkit menyamakan kedudukan menerusi S. Kumaahran pada minit ke-63 untuk berkongsi satu mata selepas Sabah FC mendahului hasil jaringan Hamran Peter sebelum tamat separuh masa pertama.

Pertemuan di antara dua pendatang baharu ke saingan divisyen teratas di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, menyaksikan Penang FC mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas KL City FC menerusi jaringan David William Rowley pada minit ke-29.

Sementara itu, saingan LIGA PREMIER, menyaksikan Negeri Sembilan FC mengatasi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Bekas penyerang kebangsaan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-23, sebelum skuad Harimau Selatan menyamakan kedudukan menerusi Mohamad Rafiefikri Mohd Rosman (min 45), namun Alain Thierry Akono mengesahkan kemenangan pada minit ke-51.

Sumber Grafik: MFL

Skuad Projek FAM-MSN di belasah 4-0 oleh TFC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, menerusi jaringan Muhammad Hairiey Hakim pada minit ke-19, Muhamad Nur Azfar Fikri (42), Mohamad Ridzuan Razali (46) dan sepakan penalti Wan Mohamad Fazli Wan Ghazal pada masa kecederaan.

Selangor FC 2 pula membenam PDRM FC 3-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hasil jaringan pemain import Myanmar Hein Htet Aung pada minit ke-43 dan pemain import dari Ghana George Attram pada minit ke-59 dan penalti pada minit ke-76.

Terdahulu, jaringan tunggal Muhammad Hakimi Mat Isa pada minit ke-49 sudah cukup bagi Perak FC II untuk menewaskan Kelantan FC 1-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

– BERNAMA


Pengarang :