Selangorkini
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Henti peralat agensi kerajaan jadi senjata politik

SHAH ALAM, 5 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengecam tindakan menjadikan agensi kerajaan sebagai senjata politik bagi tujuan tambah sokongan kerajaan minoriti Perikatan Nasional.

Menerusi kenyataan bersama, Majlis Presiden Pakatan berkata pihaknya difahamkan siri tindakan agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis terhadap ahli parlimen pembangkang, pegawai serta ahli keluarga mereka.

Kenyataan itu menegaskan, pertandingan politik di Malaysia wajib berlaku dalam suasana sihat dengan amalan demokrasi berteraskan Perlembagaan Persekutuan.

“Kami difahamkan tindakan itu masih terus dilakukan termasuk tekanan untuk ahli parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dari segi prinsip, kami menyokong tindakan berlandaskan hukum dan undang-undang tetapi sebarang penyalahgunaan institusi atau agensi dengan niat untuk mengganggu, menekan atau menakut-nakutkan musuh politik tidak boleh diterima,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu dan Presiden Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng.

Selain itu, PAKATAN juga kesal dengan tindakan pihak berkuasa menuntut kewangan yang tidak munasabah serta membeku akaun bank untuk tambah pendapatan kerajaan yang kian berkurangan.

“Tindakan memeras perniagaan dalam keadaan ekonomi meleset harus ditangguh kerana menyukarkan perjalanan perniagaan dan menjejaskan pekerjaan,” tambahnya.


Pengarang :