AGENDANASIONAL

PAKATAN ucap tahniah, polis gagalkan cubaan bunuh pemimpin

SHAH ALAM, 26 MAC: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) mengucapkan terima kepada polis yang menggagalkan cubaan pengganas untuk membunuh beberapa pemimpin penting pada Januari 2020.

Dalam kenyataan media bersama PAKATAN mengambil maklum kenyataan polis berjaya menumpaskan cubaan bunuh terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta bekas menteri-menteri Lim Guan Eng dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Katanya, cubaan bunuh itu juga menyasarkan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, yang masih dalam kerajaan pada masa itu.

Laporan media tidak menyebut sama ada polis memaklumkan kes itu kepada Menteri Dalam Negeri waktu itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, PAKATAN mendesak Muhyiddin, yang kini perdana menteri, menjelaskan siasatan kes tersebut.

“Oleh itu, kami menggesa Tan Sri Muhyiddin untuk memberikan penjelasan di atas perkara ini pada kadar segera,” kata kenyataan itu pada lewat malam tadi.

Kenyataan itu melibatkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sebelum ini, media melaporkan Penolong Pengarah Cawangan Khas Counter Terorisme (E8) Bukit Aman, Azman Omar berkata polis menahan seorang lelaki yang mengaku merancang mahu menyerang pemimpin berkenaan namun dapat ditumpaskan.


Pengarang :