Petugas Kesihatan Selcare melakukan saringan Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pakej Kita Selangor: 4,987 terima manfaat ujian percuma Covid-19

SHAH ALAM, 4 MAC: Penerima manfaat Saringan Komuniti bersasar Covid-19 meningkat kepada 4,987 individu hasil program fasa pertama setakat 1 Mac.

Dalam laporan mingguan kemajuan 20 inisiatif Pakej Kita Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri memaklumkan saringan percuma yang menyasarkan 50,000 rakyat akan diteruskan pada 6 dan 7 Mac.

“Pada 6 Mac, saringan di Majlis Bandaraya Shah Alam, Subang Perdana dan Majlis Bandaraya Subang Jaya, Seri Kembangan. Pada 7 Mac, saringan di Seksyen 2, Kota Damansara dan Seksyen 15, Shah Alam,” kata laporan itu.

Selain itu, jumlah pengguna bas Smart Selangor di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang meningkat kepada 9,247 orang berbanding 6,909 sebelumnya.

Baru sebulan dibentang, enam inisiatif Pakej Kita Selangor yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 20 Januari berjaya diselesaikan.

Berikut kemajuan lain dalam pakej berkenaan:

* Jumlah keseluruhan kanak-kanak 12 pusat asuhan seramai 414 orang terdiri dalam kalangan 316 keluarga

*Seramai 5,122 orang mendaftar Portal Pusat Tuisyen Rakyat Selangor termasuk 158 daripada negeri lain. Portal itu menerima tontontan tanpa daftar lebih 30,203 setakat 1 Mac

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail mengunjungi kedai aksesori telefon bimbit, Cikgu Gadget di Sungai Besar ketika lawatan kembara sukses Hijrah pada 21 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

*Yayasan Hijrah Selangor menerima 97 permohonan skim pembiayaan Go Digital yang menggabungkan pendigitalan e-Pembekal Runcit dan Mikro serta e-Dapur Selangor sehingga 26 Februari

*10 permohonan skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) diluluskan membabitkan pembiayaan RM42,000 pada hujung Februari. Sebanyak 171 permohonan sedang diproses

* Unit Pengurusan Bencana, Bahagian Korporat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) beroperasi di Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC) bagi memantau maklumat Covid-19

* Pasukan Petugas Operasi Pencegahan Covid-19 (STFO) beroperasi di Pusat Kecemerlangan Smart Selangor (CoE2) bagi merangka strategi mengawal wabak

*Kutipan Tabung Covid-19 kekal RM2.6 juta sehingga 1 Mac

*Bantuan 150 tan baja kompos (tinja ayam) diserahkan kepada 200 penerima di Hulu Langat melalui inisiatif Bantuan Warga Tani


Pengarang :