Dato’ Teng Chang Khim menyampaikan ucapan ketika majlis pelancaran Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 22 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pameran Penerbangan Selangor lonjak ekonomi pasca Covid-19

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Kerajaan Negeri berharap Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 dijadual berlangsung pada Ogos mampu melonjak ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.

EXCO pelaburan berkata pameran tersebut membuka peluang syarikat tempatan dan antarabangsa untuk bekerjasama termasuk menandatangani perjanjian perniagaan.

“Langkah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan pelawat perniagaan masuk ke Malaysia sekiranya memenuhi syarat memudahkan urusan penganjuran.

“Mengikut perancangan SAS akan dijadikan acara tahunan namun ia bergantung kepada situasi semasa penularan wabak,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran SAS 2021 hari ini.

Pameran terbabit dijadual berlangsung pada 12 hingga 14 Ogos di Skypark Subang dengan menyasarkan sebanyak 30 pempamer dan 5,000 pelawat.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata SAS 2021 mengalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan menyediakan platform kepada syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu seiring sasaran Selangor sebagai pemain utama aeroangkasa menjelang 2030.

Usaha itu diperkukuh menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Aeroangkasa dikendali Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO).

Aktiviti pembuatan aeroangkasa di Malaysia mengunjurkan pendapatan RM21.2 bilion, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (RM20.4 bilion) manakala kejuruteraan dan reka bentuk (RM13.6 bilion) pada 2030.

 


Pengarang :