EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Ng Sze Han (tengah) bersama Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir (kanan) dan Datuk Bandar MBSJ, Noraini Roslan (kiri) merasmikan Pusat Kitar Semula KDEB Waste Management di Bukit Puchong, Puchong pada 29 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPBTSELANGOR

PBT digalak wujud pusat kitar semula skala besar

PUCHONG, 30 MAC: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor digalak mewujudkan pusat kitar semula berskala besar bagi mengatasi lambakan sampah, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata langkah itu perlu bagi mengurangkan penggunaan tanah dan menjimatkan kos pelupusan PBT seperti yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Beliau berharap usahasama antara MPK, MBSJ dan KDEB Waste Management (KDEBWM) membuka pusat kitar semula itu diikuti oleh semua PBT.

“Jika kita tidak menggiatkan aktiviti ini (kitar semula), setiap hari PBT perlu hantar 70,000 metrik tan sisa pepejal ke tapak pelupusan.

“Malah, jika situasi sama dikekalkan dalam tempoh 30 tahun, setiap tahun sekurang-kurangnya 60 ekar (24.3 hektar) tanah diperlukan sebagai tapak pelupusan sampah.

“Justeru, program kitar semula adalah perkara penting, saya seru semua PBT untuk tambahkan lagi aktiviti kitar semula,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Kitar Semula KDEBWM di Bandar Bukit Puchong di sini semalam.

Turut hadir, Datuk Bandar MBSJ, Noraini Roslan, Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar dan Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir.


Pengarang :