Ng Sze Han menyerahkan sumbangan komputer riba kepada pelajar di pusat khidmat DUN Kinrara, Puchong pada 28 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pelajar DUN Kinrara teruja dapat komputer riba percuma

SUBANG JAYA, 1 MAC: Penerima komputer riba percuma daripada Ahli Dewan Negeri Kinrara menarik nafas lega kerana dapat meneruskan sesi pembelajaran dalam talian lebih baik dan lancar.

Pelajar tingkatan satu, Fatin Nur Syahirah Hisyam berkata sebelum ini dia terpaksa menggunakan telefon bimbit ibunya untuk menghadiri sesi Google Meet bersama guru.

“Memang susah gunakan telefon bimbit untuk belajar dalam talian. Tetapi sekarang saya sudah ada komputer sendiri, terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Ng Sze Han kerana sudi hulurkan sumbangan ini.

Fatin Nur Syahirah Hisyam, 13

“Saya akan belajar dengan baik menggunakan kemudahan yang diberi,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 1 Bandar Kinrara itu kepada SelangorKini.

Sementara itu, Kashveena Bathmanathan, berkata dia tidak pernah menjangka komputer akan menjadi alat pembelajaran yang amat penting pada waktu ini.

“Terima kasih kepada Pusat Khidmat Kinrara yang luluskan permohonan saya untuk dapatkan komputer riba percuma, saya akan belajar sungguh-sungguh untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi,” kata pelajar tingkatan lima SMK Puchong Jaya B.

Turut menerima sumbangan ialah Eva Anatasah Luddi yang juga pelajar tingkatan lima SMK Puchong Jaya B.

B Kashveena, 17

Katanya, telefon bimbit yang digunakannya setiap kali menyertai sesi pembelajaran secara dalam talian selalu berdepan pelbagai masalah.

“Telefon juga akan menjadi sedikit lambat menyebabkan saya agak sukar memahami pengajaran guru. Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB,” katanya.

Kesemua mereka antara 100 penerima sumbangan komputer riba percuma program Cerdik Kinrara yang dianjurkan Ng Sze Han.


Pengarang :