Petugas Kesihatan Selcare menganalisis sampel Covid-19 ketika program Saringan Komuniti Bersasar secara percuma di Dataran Otomobil , Shah Alam pada 7 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENSISELANGOR

Pelajar, guru sertai saringan percuma sebelum masuk sekolah

SHAH ALAM, 8 MAC: Pelajar tingkatan satu antara yang hadir menjalani saringan Covid-19 secara percuma di Dataran Otomobil, Seksyen 15 di sini semalam.

Adam Aisy Khairul Azmi yang bakal mendaftar masuk ke sekolah pada April mengambil inisiatif berkenaan setelah mendapat nasihat pihak pentadbiran.

Dia yang menetap di Rantau Panjang, Klang ditemani ayahnya yang turut melakukan ujian bersasar anjuran Kerajaan Negeri bagi mencegah penularan wabak.

Adam Aisy Khairul Azmi

“Saya mahu buat saringan sebagai langkah keselamatan diri dan sekeliling dan hanya boleh bersekolah jika benar-benar sihat,” kata pelajar Sekolah Menengah Maahad Tahfiz Sungai Pinang, Klang.

Sementara itu, guru bahasa bahasa Inggeris Nurasyila Nor Halim, 40, melakukan saringan Covid-19 lebih awal sebelum sekolah dibuka sebagai persediaan.

Menurutnya, meskipun ujian itu tidak diwajibkan namun ia dianggap wajar, lebih-lebih lagi golongan sepertinya perlu bertemu ramai orang.

“Inisiatif Kerajaan Negeri ini bukan sahaja membolehkan rakyat tahu status kesihatan tetapi turut mengurangkan beban kos saringan di klinik swasta yang mencecah ratusan ringgit,” katanya.

Nurul Shazreena Kaimin

Bagi Nurul Shazreena Kaimin, 34, dia dan suami menyertai program Saringan Komuniti setelah anaknya menjadi kontak rapat di rumah asuhan.

“Saya ke program saringan ini kerana bimbang tahap kesihatan kami sekeluarga dan masih belum menerima panggilan dari Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.


Pengarang :