Petugas Kesihatan Selcare memujuk seorang kanak-kanak melakukan saringan Covid-19 ketika Saringan Komuniti di Dewan Resak, Subang Perdana Shah Alam pada 6 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pelajar tahfiz, kanak-kanak antara golongan jalani saringan percuma

SHAH ALAM, 6 MAC: Seramai 20 pelajar Pusat Tahfiz Madrasah Miftahul Khoir Taman Subang Perdana menyertai Saringan Komuniti Covid-19 percuma di Dewan Resak Subang Perdana hari ini.

Gurunya, Muhammad Azuan Mat Hussin berkata langkah itu demi memenuhi tuntutan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) susulan pembukaan semula sesi persekolahan.

Muhammad Azuan Mat Hussin

“Kita mengambil inisiatif untuk pergi ke program saringan ini kerana tidak mahu wujudnya kluster membabitkan pelajar tahfiz memandangkan sekolah sudah dibuka.

“Saya harap lebih ramai guru atau penyelia pusat pembelajaran ambil inisiatif rebut peluang sertai saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri ini,” katanya.

 

Nor Sazwani Safian

Sementara itu, ibu dua anak, Nor Sazwani Safian, 34, berkata beliau mengambil keputusan untuk menyertai saringan ini selepas dimaklumkan terdapat kes positif Covid-19 di tadika anaknya.

“Inisiatif Kerajaan Negeri menyedia saringan percuma bagus terutama kepada mereka yang mempunyai bilangan ahli keluarga ramai, saya cadangkan mereka hadir dan buat ujian ini,” katanya yang tinggal di Meru.

Warga emas, Norliah Ahmad, 60, berkata beliau memberanikan diri hadir ke saringan tersebut kerana bimbang dengan peningkatan kes wabak kebelakangan ini.

Norliah Ahmad

“Rutin harian mengguna pengangkutan awam membuatkan saya khuatir kerana sering terdedah kepada orang ramai dalam keadaan berhimpit. Justeru, saya bertindak hadir ke sini hari ini untuk melakukan saringan,” katanya yang tinggal di Taman Subang Perdana.

Seorang lagi peserta, Mohd Kamal Kassim, 40, turut berkongsi kegelisahan menjalani ujian calitan kali pertama yang akhirnya reda selepas mendapati ia tidak menyakitkan.

Mohd Kamal Kassim

“Ini kali pertama saya buat saringan dan rasanya tidak sakit. Semoga Kerajaan Selangor meneruskan lagi inisiatif membantu penduduk negeri ini,” jelasnya yang bekerja sebagai juruteknik penerbangan.


Pengarang :