Pengarah Pembangunan Sosial Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Suhaimi Ismail (tiga dari kanan) bersama sukarelawan pelancong Pusat Informasi Islam Mais (PIIM) sempena program promosi pusat tersebut pada 11 Mac 2021. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pelancong asing antara 20 individu masuk Islam di pusat informasi Mais

SHAH ALAM, 11 MAC: Seramai 20 individu termasuk pelancong asing menganut agama Islam selepas mengadakan lawatan ke Pusat Informasi Islam Mais (PIIM) sejak 2019.

Pengarah pembangunan sosial Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata mereka terdiri daripada 14 rakyat tempatan dan enam warga asing yang dibimbing sukarelawan pelancong Islamic Outreach ABIM Centre (IOAC) apabila melafazkan kalimah syahadah.

“Penerangan mengenai Islam diberikan dan tiada paksaan dalam perkara ini sebaliknya memberi ruang untuk mereka benar-benar memahami serta terbuka memilih Islam.

“Warga tempatan yang mendapat hidayah akan dirujuk ke Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) manakala pelancong asing disyor mendaftar dengan badan bukan kerajaan (NGO) atau rumah ibadat di negara mereka,” kata Suhaimi Ismail selepas program promosi PIIM di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seramai 14,240 pelancong mengunjungi pusat tersebut sejak ditubuhkan 1 April 2016 hingga akhir tahun lalu dengan 69.2 peratus daripadanya bukan Islam.

Menurutnya, pelancong dari Jepun antara yang tertinggi melawatnya setiap tahun iaitu sekitar 7,000 orang diikuti China, Taiwan, Hong Kong dan Amerika Syarikat.


Pengarang :