Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas melawat Pusat Operasi C5i Smart Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 3 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Hampir 110,000 penduduk terima manfaat Pakej Kita Selangor RM24.7 juta

SHAH ALAM, 3 MAC: Seramai 108,545 penduduk negeri ini menerima manfaat Pakej Kita Selangor melibatkan peruntukan berjumlah RM24.7 juta, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka menikmati enam daripada 20 inisiatif yang selesai dijalankan iaitu bantuan makanan kepada petugas hadapan dan pelupusan pinjaman Yayasan Selangor.

“Selain itu, peserta Skim Smart Sewa menikmati penangguhan sewa tiga bulan dan pengecualian serta penangguhan sewa penghuni Projek Perumahan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC) di sini yang memantau perkembangan pakej tersebut.

Amirudin berkata baki 14 inisiatif giat dilaksanakan agensi kerajaan berkaitan antaranya saringan bersasar Covid-19, bantuan pengangkutan bagi pesakit Covid-19 berisiko rendah.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Negeri juga menyediakan program Bakul Makanan, e-Dapur dan Skim Niaga Darul Ehsan untuk meringankan beban penduduk ketika pandemik.

Pada 20 Januari, Amirudin membentang Pakej Kita Selangor bernilai RM73.8 juta yang menyediakan 20 inisiatif berbentuk bantuan, program ekonomi dan pendidikan.

Pakej itu antara lain pelupusan pinjaman pelajaran, bantuan makanan, mencipta pekerjaan, insentif warga tani dan pembelajaran percuma.


Pengarang :