Kerja-kerja mengawal kebakaran dilakukan anggota bomba di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat pada 2 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pembakaran terbuka meningkat, punca kualiti udara tidak sihat

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Punca kualiti udara tidak sihat di beberapa kawasan dalam negara disebabkan oleh peningkatan kes pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering sejak pertengahan Februari lalu, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata tujuh kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 4 petang hari ini, iaitu lima stesen di Selangor melibatkan Johan Setia Klang dengan bacaan 188, Banting (167), Petaling Jaya (133), Klang (107), Shah Alam (104), serta masing-masing satu di stesen Cheras, Kuala Lumpur (111) dan Rompin, Pahang (133).

“Keadaan sedikit berjerebu di Lembah Klang yang dialami pada hari ini adalah berpunca daripada kejadian kebakaran hutan dan tanah gambut di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan seluas 34 hektar sejak 24 Feb lalu.

“Pembakaran terbuka daripada aktiviti pertanian tanah gambut di Johan Setia, Klang yang mula dikesan pada 5 Feb dengan lima lokasi kebakaran melibatkan anggaran jumlah keluasan tiga ekar telah menyebabkan kualiti udara tidak sihat di kawasan tersebut.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga turut mengesan kebakaran belukar di kawasan Rompin dengan anggaran keluasan 10 ekar pada hari ini yang meningkatkan bacaan IPU di stesen kualiti udara Rompin, Pahang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata kementeriannya telah mengarahkan JAS untuk menjalankan siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap kes pembakaran terbuka.

Katanya, JAS juga telah menyediakan enam kertas siasatan, mengeluarkan satu kompaun dan empat notis arahan serta arahan di lapangan.

“Tindakan tegas telah diambil kepada pemilik tanah, operator tapak pelupusan sampah dan pelaku yang menyebabkan pembakaran terbuka yang menjejaskan kualiti udara,” katanya.

Selain daripada tujuh kawasan dengan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, terdapat 52 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana serta sembilan kawasan pada tahap baik.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya).

– BERNAMA


Pengarang :