Hamsaton Hamsan, 59, bersama isteri Hambobah Sarimin, 64, gembira menerima sumbangan keperluan asas daripada Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari dalam suatu majlis di Taman Ukay Perdana, Ampang ketika program Jelajah Kita Selangor ke parlimen itu pada 7 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Penduduk Pangsapuri Sri Wira terharu terima sumbangan makanan

AMPANG, 8 MAC: Penduduk Pangsapuri Sri Wira, Ukay Perdana di sini terharu menerima sumbangan bakul makanan daripada Kerajaan Negeri.

Nurin Jazlina Hamsaton, 21, berkata sumbangan berkenaan amat bermakna apabila bapanya, Hamsaton Hamsan, 59, hilang punca pendapatan akibat diserang strok lima bulan lepas.

“Kehidupan kami sekeluarga memang susah apatah lagi dengan situasi pandemik Covid-19. Emak pula sudah tidak mampu bekerja kerana faktor usia dan saya pula sedang belajar.

“Sumbangan ini berharga buat kami. Saya berterima kasih atas keprihatinan Dato’ Menteri Besar yang sanggup turun dan menyampaikan sendiri bakul makanan kepada keluarga susah di sini,” kata pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Awam Politeknik Sabak Bernam.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan keperluan asas kepada penduduk memerlukan di Taman Ukay Perdana, Ampang sempena Jelajah Kita Selangor ke parlimen itu pada 7 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Mohd Suib Othman, 66, pula tidak menyangka kerana pertama kali terpilih menerima sumbangan makanan secara terus berbanding sebelum ini dalam bentuk baucar dan perlu membuat penebusan di pasar raya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur atas bantuan yang sedikit sebanyak dapat meringankan kos perbelanjaan barangan dapur selain menampung bekalan sedia ada.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan, pendapatan saya sebagai guru al-Quran terjejas. Jika sebelum ini, hampir setiap hari saya mengajar dari rumah ke rumah tetapi sekarang permintaan kurang dan terpaksa buat dalam talian,” kata bapa tiga anak.

Terdahulu, mereka antara 100 penerima bantuan bakul makanan yang disampaikan Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Jelajah Kita Selangor di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat KEADILAN Ranting, Taman Bukit Mulia semalam.

Bantuan itu diselaras pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.


Pengarang :