AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Penerima KISS IT ditambah 5,000 lagi, bantu depani kesan Covid-19

SHAH ALAM, 8 MAC: Bilangan penerima Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS IT) ditambah 5,000 lagi bagi membantu wanita berpendapatan rendah (B40) mendepani dampak Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan kewangan sebanyak RM2,400 setahun meringankan beban golongan itu membeli barangan keperluan asas keluarga.

“Jika melihat kepada impak pandemik Covid-19, 64 peratus isi rumah B40 diketuai wanita mengalami kesukaran membeli makanan asas berbanding biasa pada kadar 57 peratus.

“Justeru, Kerajaan Negeri mengumumkan penambahan 5,000 penerima KISS IT yang memberikan mereka RM2,400 setahun untuk menampung keperluan asas keluarga,” katanya dalam perutusan sempena Hari Wanita Sedunia 2021.

KISS menyasar wanita berkeluarga berpendapatan bawah RM2,000 atau tersenarai sebagai golongan miskin atau miskin tegar menerusi pengkalan data eKasih.

Borang pendaftaran boleh dimuat turun melalui laman web www.kiss.com.my atau mendapatkannya dari pusat khidmat masyarakat berhampiran.

Sementara itu, Amirudin berkata ketidakseimbangan antara keupayaan wanita dan peluang ekonomi serta politik yang ditawarkan memberi kesan kepada situasi kewangan golongan itu.

Menurutnya, pemerkasaan wanita dalam segala aspek bukan lagi suatu pilihan tetapi perkara asas yang harus menjadi garis ukur pembangunan sesebuah bangsa serta negara.

“Kemajuan sesebuah negara kini tidak lagi boleh hanya diukur melalui angka pelaburan asing secara langsung (FDI) atau perniagaan sahaja,” katanya lagi.


Pengarang :