Jemaah Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13, Shah Alam menunaikan solat Zohor berjemaah dengan mengikut SOP penjarakan fizikal 1.5 meter dan pemakaian pelitup muka bagi mengelak penularan Covid-19 pada 4 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengurusan masjid, surau diingat patuhi SOP ketika anjur solat tarawih

SUNGAI BULOH, 25 MAC: Pengurusan masjid dan surau di Selangor diingatkan supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika menganjurkan solat terawih.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata pentadbir perlu mendaftar aplikasi Selangkah atau MySejahtera, mengambil suhu dan jemaah diminta membawa sejadah sendiri.

“Kalau boleh kita ingatkan ambil wuduk di rumah.

“Penjarakan fizikal pula seperti sedia maklum perlu ada dan ia akan terus kekal ada sehingga pandemik Covid-19 berakhir,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau berkata demikian ketika program Jelajah Dakwah Rentas Rimba di Kampung Orang Asli Sungai Buloh hari ini.

Tambahnya, garis panduan untuk solat tarawih sudah ada dan akan diumum Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Garis panduan itu tidak jauh bezanya dengan yang sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran solat terawih berjemaah di masjid pada Ramadan ini tertakluk kepada SOP ketat.


Pengarang :