Exco Pengangkutan Awam Ng Sze Han mengimbas ‘Scan To Ride’ sebelum menaiki bas smart Selangor ketika Majlis Pelancaran Aplikasi Scan To Ride di Menara Bank Simpanan Nasional, Shah Alam pada 1 Mac 2021 turut serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Dato Haris Kasim dan Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit Dr Fahmi Ngah. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penumpang Bas Smart Selangor wajib guna ‘Scan To Ride’

SHAH ALAM, 2 MAC: Pengguna Bas Smart Selangor wajib menggunakan ‘Scan To Ride’ yang perlu dimuat turun menerusi aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat).

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata sistem itu membolehkan mereka membayar tambang dengan kaedah mengimbas kod QR di pintu masuk dan keluar bas.

“Sistem ini diperkenal sejajar hasrat Kerajaan Negeri dalam menggalakkan penggunaan teknologi digital dan bayaran tanpa tunai selaras menjayakan visi Smart Selangor menjelang 2025.

“Bagaimanapun, pengguna bas warganegara berusia 60 tahun ke atas dan kanak-kanak pula tidak diwajibkan mempunyai aplikasi ini sebaliknya mereka hanya perlu membawa kad pengenalan sahaja,” katanya ketika melancarkan ‘Scan To Ride’ Perkhidmatan Bas Smart Selangor semalam.

Beliau berkata warga asing akan dikenakan bayaran RM0.90 setiap perjalanan mulai 15 Mac ini manakala warga Malaysia kekal percuma.

“Sistem ‘Scan To Ride’ ini juga digunakan untuk selenggara dan tambah baik jumlah laluan Bas Smart Selangor pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata setakat Disember tahun lalu terdapat 11,000 pengguna telah memuat turun aplikasi CEPat.

“Kita menyasarkan lebih 200,000 pengguna bakal mengguna aplikasi ini. SSDU juga akan berusaha untuk tambah baik dengan beberapa perkhidmatan lain akan datang,” katanya.

Selain ‘Scan To Ride’, CEPat merupakan platform pembayaran elektronik berpusat yang turut menawarkan perkhidmatan sedia ada iaitu cukai taksiran, kompaun, lesen, sewaan fasiliti dan bayaran utiliti.


Pengarang :