Grafik: My Health
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Penyelidik UPM cipta inovasi percepat saringan, kesan penyakit Tibi

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta dua inovasi yang dikenali sebagai TB Strip dan TB Reader bagi tujuan menyaring dan mengesan penyakit tuberkulosis atau Tibi dengan lebih cepat selain turut mesra pengguna.

Kedua-dua inovasi ini bertindak dengan mengesan bakteria Mycobacterium tuberculosis dalam sampel sputum atau kahak dalam tubuh seseorang individu.

TB Reader mengambil masa lebih kurang dua jam untuk mengetahui keputusan ujian, lebih sensitif serta mampu mengesan kehadiran bakteria Tibi walaupun kandungan bakteria berada dalam kadar yang rendah manakala TB Strip pula memakan masa hanya kira-kira 10 hingga 15 minit untuk mendapat keputusan namun tahap sensitivitinya lebih rendah berbanding TB Reader.

Cepat proses saringan, kos lebih rendah

Menyifatkan kedua-dua inovasi itu sebagai nilai tambah kepada kaedah pengesanan awal penyakit Tibi yang sedang digunakan hospital dan makmal terlibat ketika ini, ketua kumpulan penyelidik UPM Prof Dr Nor Azah Yusof berkata antara kelemahan kaedah piawai sedia ada ialah masa yang diperlukan agak lama sebelum keputusan dapat diketahui.

“Sebagai contoh ujian Mantoux memerlukan tempoh masa minimum 72 jam dan ujian kultur pula lazimnya minimum empat minggu diperlukan. Biarpun ujian calitan kahak atau dipanggil acid fast bacilli smear test (AFB) adalah yang paling cepat, namun isu yang sering timbul ialah keputusan false negative yang agak tinggi.

“Justeru, inovasi TB Strip dan TB Reader ini dapat membantu mempercepat proses saringan penyakit Tibi sebelum pemeriksaan lanjut dan lebih terperinci dijalankan di samping kos bagi kedua-duanya adalah jauh lebih rendah berbanding kaedah lain,” katanya kepada Bernama.

Saringan cara TB Strip dilakukan melalui kaedah ujian antigen sementara TB Reader pula adalah inovasi bagi mengesan bakteria Tibi menggunakan kaedah elektro kimia.

Nor Azah yang juga pensyarah di Fakulti Sains UPM berkata inovasi itu sedang dalam proses kajian klinikal dan perlu mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sebelum ianya boleh dipasarkan secara rasmi.

Kajian klinikal fasa pertama TB Reader telah mencapai 70 peratus kecekapan berbanding kaedah piawai sedia ada dan selepas semua masalah berkaitan dikenal pasti, kajian klinikal fasa kedua pula akan diteruskan dengan skala sampel yang lebih besar.

TB Reader mula dibangunkan lima tahun lepas dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta Persatuan Pencegah Batuk Kering Sabah (SABATA) Penampang.

Kajian klinikal baru TB Strip pula bermula Ogos tahun lepas secara berperingkat namun terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua.

Kajian membangunkannya turut dimulakan sejak lima tahun lepas dengan kerjasama USM Kubang Kerian dan Institut Perubatan Respiratori Kementerian Kesihatan.

“Sebagai golongan penyelidik yang terlibat dengan biosensor, kaedah diagnostik dalam pengesanan penyakit merupakan antara skop yang amat penting bagi membantu lebih ramai pesakit didiagnos dengan lebih cepat seterusnya mendapat rawatan pada peringkat awal.

“Kerjasama erat perlu terus digembleng antara penyelidik, agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kementerian lain yang terlibat seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta pihak industri bagi membolehkan inovasi dalam pengesanan penyakit Tibi di negara ini dapat dilaksanakan dengan baik dan komprehensif,” kata Nor Azah.

Perangi kes MDR-TB

Penyakit Tibi merupakan satu daripada 10 penyebab utama kematian di peringkat global manakala jumlah kadar kematian yang direkodkan di Malaysia pada 2019 adalah sebanyak 3.7 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Menurut laman web KKM, jumlah kes Tibi yang direkodkan pada 2019 adalah sebanyak 26,352 kes (kadar insiden 81 setiap 100,000 penduduk) di mana jumlah itu menunjukkan peningkatan dua peratus berbanding 2018 sebanyak 25,837 jumlah kes (kadar insiden 79 setiap 100,000 penduduk).

Laman web rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyatakan sebanyak 1.4 juta orang direkodkan mati akibat penyakit berjangkit ini pada 2019 dan jumlah ini termasuklah 208,000 orang penghidap HIV.

Sementara itu, Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM Dr Ummi Nadira Daut berkata penyakit Tibi termasuklah kes-kes melibatkan bakteria TB kebal terhadap ubatan (multidrug resistance TB- (MDR-TB)) yang menunjukkan kadar peningkatan kes saban tahun.

MDR-TB adalah keadaan di mana penghidap Tibi mengalami ketahanan atau kekebalan terhadap dua ubat penting Tibi iaitu isoniazid dan rifampicin, dan ia adalah suatu keadaan yang lebih sukar dan memerlukan tempoh rawatan yang lama serta kos yang lebih tinggi berbanding kes Tibi biasa.

Tuntut komitmen semua pihak

Situasi ini katanya menuntut komitmen semua pihak baik kerajaan mahu pun swasta bagi menyediakan khidmat saringan dan rawatan awal kepada pesakit kerana isu drug resistant memberi implikasi buruk terhadap kehidupan dan kesihatan masyarakat sekiranya tidak ditangani sewajarnya.

“Program pendidikan dan pencegahan perlu terus diperluas dengan memberi tumpuan penuh kepada pesakit yang berisiko tinggi terhadap MDR-TB.

“Setiap pesakit perlu diberi kaunseling berkaitan pengambilan ubat-ubatan dan penekanan supaya patuh pada rawatan. Kegagalan mematuhi rawatan yang ditetapkan bakal meningkatkan risiko MDR-TB dan akan menyukarkan proses penyembuhan sekali gus meningkatkan komplikasi penyakit.

“Masyarakat perlu diberi pendedahan mengenai bahaya MDR-TB dan seterusnya berganding bahu bagi membendung penyebaran komuniti MDR-TB yang kini sedang berlaku di Malaysia,” jelas beliau yang juga merupakan pakar Pulmonologi.

Sebanyak 352 kes MDR-TB dilaporkan di Malaysia pada 2018 dengan pertambahan 182 kes baharu berbanding 170 kes yang dirawat pada tahun sebelumnya.

Tambah Ummi Nadira, KKM sentiasa berusaha mempertingkatkan pelbagai kajian penyakit Tibi daripada aspek pencegahan, saringan, diagnosis dan rawatan bagi memastikan program Kawalan Tibi Kebangsaan sentiasa kehadapan dan berjaya mencapai sasaran sifar Tibi menjelang 2035.

“Fasiliti di setiap hospital kerajaan seperti Gene Xpert turut ditambah bagi mempercepatkan diagnosis MDR-TB agar rawatan awal dapat diberikan kepada pesakit,” katanya.

Hari Tibi disambut di seluruh dunia pada 24 Mac setiap tahun sempena memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr Robert Koch pada 24 Mac 1882.

Turut dikenali sebagai batuk kering, penyakit ini lazimnya melibatkan paru-paru namun organ lain seperti otak, tulang, kelenjar, usus dan buah pinggang juga boleh mendapat jangkitan Tibi.

– BERNAMA

 


Pengarang :