Grafik Media Selangor
AGENDAEKONOMI

Perbankan Islam terus berkembang hadapi cabaran pandemik

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Sektor perbankan Islam Malaysia terus berkembang meskipun ekonomi pada masa ini berhadapan dengan cabaran berikutan penularan Covid-19, kata Fitch Ratings.

Malaysia juga terus menjadi pasaran perbankan, sukuk dan takaful Islam terbesar di Asean, katanya.

Agensi penarafan kredit itu berkata penguasaan pembiayaan Islam dalam sistem perbankan mencecah 37 peratus pada akhir 2020 berbanding 35 peratus pada akhir 2019.

“Pembiayaan Islam menyumbang hampir keseluruhan kepada pertumbuhan sektor perbankan pada 2020, dipacu oleh pembiayaan isi rumah dan bank yang mempromosikan produk Islam sebagai sebahagian daripada strategi “Islamic First”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 2021, Fitch menjangkakan profil kredit sektor perbankan Islam kekal stabil dengan pemampan penyerapan kerugian yang mencukupi walaupun terdapat tekanan jangka pendek ke atas kualiti dan keuntungan aset.

“Kami turut menjangkakan rosot nilai kredit akan meningkat dan peruntukan kredit kekal tinggi berikutan moratorium pinjaman dan langkah-langkah bantuan pembayaran semula pinjaman lain yang disediakan kepada peminjam rentan yang telah menutupi kualiti aset asas bank pada 2020,” katanya.

Dalam tempoh sederhana, ia berkata kadar penembusan kewangan Islam kemungkinan meningkat disebabkan oleh pemulihan ekonomi dengan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar pada 6.7 peratus tahun ini, persekitaran peraturan yang menyokong pemulihan dan bank yang terus mempromosikan produk Islam.

– BERNAMA


Pengarang :