Adun Balakong, Wong Siew Ki meninjau Program Saringan Komuniti percuma secara bersasar di tapak parkir, Taman Bukit Belimbing, Seri Kembangan pada 27 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pergiat usaha suntik kesedaran masyarakat jalani Saringan Komuniti

KAJANG, 28 MAC: Usaha terus dipergiat bagi menggalakkan lebih ramai individu menyertai Saringan Komuniti Covid-19 ekoran kesedaran masyarakat menyertai program itu menurun 50 peratus.

Pengurus Klinik Selcare berkata pihaknya akan berhubung dengan pejabat wakil rakyat setempat termasuk persatuan penduduk untuk membuat lebih banyak hebahan dan memaklumkan kepada komuniti turun ke lokasi saringan.

Jelas Mohd Noor Md Nasir pada awal pelaksanaan program saringan Februari lalu, hampir 500 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) mampu diperoleh di setiap lokasi namun jumlah itu menurun secara purata 250 sampel melalui beberapa siri program terbaharu.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir

“Mungkin mereka tidak lagi menitikberatkan untuk buat saringan dengan alasan vaksin sudah ada. Pandangan itu sebenarnya tidak tepat kerana sepatutnya peluang ini harus diambil.

“Sekali lagi ditegaskan, selagi individu itu belum divaksin selagi itu mereka kena buat saringan bagi mengetahui status kesihatan sama ada dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri di Jalan Medan Belimbing, Seri Kembangan di sini semalam.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor menerusi Pakej Kita Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan saringan berkenaan di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas, kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.

 


Pengarang :