Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) menyerahkan cek cura kepada jawatankuasa Masjid Diraja Sultan Ala’eddin Kampung Bandar, Kuala Langat pada 21 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pertahan sejarah Istana Bandar, mercu tanda pentadbiran negeri

KUALA LANGAT, 21 MAC: Istana Bandar di Jugra yang pernah menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Melayu Selangor tidak dipinggir meskipun daerah ini pesat membangun.

Dato’ Menteri Besar berkata bangunan bersejarah yang pernah menjadi mercu tanda kegemilangan pentadbiran negeri lebih 100 tahun lalu perlu dijaga rapi.

“Dahulu Istana Bandar lambang pentadbiran dan pengurusan Kerajaan Selangor yang kemudian berpindah ke bandar seiring perubahan zaman.

“Peredaran masa bukan bermakna kita boleh lupakan sejarah sebaliknya warisan ini perlu dijaga untuk tatapan generasi baharu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas melawat Masjid Diraja Sultan Ala’eddin Kampung Bandar di sini.

Beliau turut menyerahkan sumbangan bernilai RM10,000 kepada pengurusan masjid berkenaan untuk melaksanakan aktiviti keagamaan.

Sementara itu, Amirudin berkata Almarhum Sultan Ala’eddin Suleiman Shah yang juga Sultan Selangor kelima amat dihormati rakyat kerana memiliki ilmu agama yang tinggi.

“Almarhum merupakan seorang ulama yang banyak berbakti kepada rakyat serta meninggikan syiar Islam di negeri ini,” katanya lagi.

Masjid yang dirasmikan pada 1926 memiliki reka bentuk India-Muslim dan Islam Timur Tengah serta diwartakan sebagai monumen lama dan tapak tanah bersejarah pada 24 Julai 1980.

Pusat ibadat itu juga didaftarkan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) pada 2008 oleh Jabatan Warisan Negara.


Pengarang :