Petugas kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian pada program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Melati, Shah Alam pada 20 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
RENCANAWAWANCARA

Pesakit Covid-19 bertarung emosi, cekal hadapi dugaan

KESEORANGAN terlantar di katil hospital berbelas-belas hari, diganggu batuk berpanjangan, pernafasan pula tersekat-sekat antara igauan pesakit Covid-19.

Lebih menjeruk rasa, tiada siapa waima ahli keluarga dibenar melawat. Hanya ada petugas kesihatan lalu lalang, memberi ubat, sesekali kata-kata semangat.

Emosi Mohd Ezuwan Hassan, 41, juga tidak keruan. Wajah isteri, juga anak berusia empat bulan yang turut dijangkiti kerap melintas di fikiran. Apatah lagi, mereka dirawat di pusat perubatan lain.

Rindu dan risau berselang-seli. Namun, beliau tidak mengalah. Walau kematian terbayang-bayang, bapa empat anak mengepal semangat untuk menang dalam pertarungan melawan virus.

Hampir pengsan

Dirawat selama 15 hari mulai 8 Januari, Ezuwan turut ditempatkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas lima hari rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Ketika itu, tubuhnya longlai akibat paru-parunya telah dijangkiti. Kahaknya pula seakan-akan coklat dan merah. 12 hari menggunakan bantuan pernafasan, terasa benar nyawanya di hujung tanduk.

Mohd Ezuwan Hassan

“Ketika mahu ke tandas, seorang doktor nampak saya sangat lemah dan hampir pengsan. Beliau terus mengarahkan petugas memindahkan saya ke ICU.

“Tuhan sahaja yang tahu keadaan saya ketika itu. Hanya kematian tergambar dalam fikiran,” kata pegawai tadbir dan diplomatik itu kepada SelangorKini.

Namun, Ezuwan yang mengidap darah tinggi, kolestrol dan kencing manis meneguhkan semangat dengan memperbanyak zikir dan bacaan Quran.

Beliau tidak lekang memanjatkan doa agar Dr Nurairina Muhamad dan Aisha Hana, empat bulan, agar segera pulih. Sesekali juga rasa bersalah menerpa. Bersarapan dengan rakan sekerja yang positif virus menjadi punca. Mujur tiga lagi anaknya tidak dijangkiti.

Namun, berkat keteguhan semangat, Ezuwan akhirnya disahkan bebas Covid-19. Isteri dan anaknya pula bebas virus lima hari lebih awal.

“Ketika dirawat, saya diberi steroid dan ubat antiviral. Saya sendiri tidak percaya boleh dijangkiti virus kerana aktif bersukan,” katanya yang meminati bola sepak.

“Kami tidak minta penyakit ini, bahkan kami pejuang yang bangkit meneruskan kehidupan,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya membuang stigma negatif terhadap bekas pesakit Covid-19.

Pesara Hamdan Salleh pula dijangkiti virus pada akhir Mac tahun lalu selepas duduk bersebelahan jirannya dalam kuliah Maghrib di sebuah masjid. Jirannya itu baru pulang dari perhimpunan tabligh di Sri Petaling.

Menetap di Bandar Baru Ibrahim Majid, Kluang, Johor, Hamdan, 74, menyifatkan pengalaman menerima rawatan 36 hari di Hospital Kluang memberi banyak pengajaran.

Beliau sendiri mengambil inisiatif ke klinik kesihatan selepas menonton berita berkaitan kluster tabligh sebelum menjalani kuarantin 14 hari.

Beliau juga membuat ujian kedua dengan membawa seluruh ahli keluarga. Pada 3 April 2020, Hamdan disahkan positif dan dibawa ke hospital sama.

“Saya dibenarkan pulang pada 9 Mei 2020. Covid-19 memang sesuatu yang mencabar dan sukar tetapi emosi kena kuat sebab hanya kita yang mampu melawan virus ini,” katanya.

Fikir Positif

Eksekutif kewangan Nahzatul Shima Mohamad Rasedi, 37, pula disahkan positif pada 4 Januari selepas seminggu batuk, selesema, sakit tekak, demam dan sakit kepala berpanjangan.

Beliau sukar menerima keputusan itu tetapi tetap berfikiran positif. Beliau menjalani kuarantin selama 10 hari di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah di Serdang sehingga 12 Januari.

Nahzatul Shima

“Sampai sekarang ada kawan tidak mahu jumpa tetapi saya tidak ambil pusing. Sebenarnya selepas 10 hari, pesakit Covid-19 tidak menjangkiti orang lain kerana virus itu sudah hilang. Masyarakat perlu buang pemikiran negatif terhadap kami,” katanya.

Wartawan Selangor Journal, Alang Bendahara, 46, pula tidak mengalami sebarang gejala ketika dijangkiti sebelum membuat saringan di Klinik Selcare Puchong Permai pada 15 Januari.

Selepas disahkan positif dua hari kemudian, Alang kuarantin di rumah selama 10 hari. Pada 23 Januari, beliau menerima panggilan daripada Pusat Kesihatan Daerah Petaling yang memantau kesihatannya.

Sekalipun disahkan bebas virus selepas membuat pemeriksaan di CAC Petaling di Dewan MBSJ SS15 pada 26 Januari, Alang membuat saringan lagi pada 31 Januari di Klinik Selcare Seksyen 13 Shah Alam kerana ramai rakan enggan bertemu dengannya.

“Agak tertekan juga kerana kawan-kawan masih anggap saya pembawa virus, namun bersyukur dimaklumkan negatif bagi ujian saringan kali kedua,” katanya.

 

 


Pengarang :