Perlawanan persahabatan antara PJ City FC dan Selangor FC pada 19 Mei 2020. Foto Facebook PJ City FC
AGENDASUKANKINI

PJ City FC yakin pemain tempatan mampu beri saingan

SHAH ALAM, 3 MAC: PJ City FC yakin mampu mamberi saingan pada aksi Liga Super Malaysia 2021 meskipun beraksi tanpa pemain import, kata jurulatihnya.

P Maniam berkata pemain tempatan perlu mengambil peluang untuk menonjolkan kemampuan diri, mutu permainan serta beraksi secara konsisten sepanjang musim.

“Saya selalu ingatkan ketiadaan pemain import bukan alasan gagal pamer aksi terbaik, kita perlu bermain sebagai satu pasukan.

“Saingan ini juga tempat pemain terutama yang muda untuk membuktikan mereka setanding dan jika bagus tidak mustahil jadi rebutan pasukan gergasi,” katanya kepada SelangorKini.

P Maniam menambah PJ City FC tidak menetapkan sasaran namun mahu pemain kekal fokus serta mengharungi setiap perlawanan dengan tenang.

Skuad yang terkenal dengan gelaran The Phoenix menduduki tempat ketujuh daripada 12 pasukan dalam saingan Liga Super yang dipendekkan tahun lalu berikutan Covid-19.

Pasukan itu tersingkir pada pusingan pertama saingan Piala Malaysia dengan kekalahan 0-1 kepada Terengganu, sebelum pertandingan berprestij itu dibatalkan kerana pandemik.


Pengarang :