EXCO Kerajaan Negeri Hee Loy Sian berucap pada majlis Penyerahan Bakul Makanan di Balai Rakyat Kampung Orang Asli Bukit Tampoi pada 21 Mac 2021. Foto NADIAH ZAMLUS/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

PKPB: Tiada promosi pelancongan, gesa rakyat tidak bergerak bebas

DENGKIL, 21 MAC: Selangor masih tidak mengaktifkan promosi pelancongan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan ketika ini.

EXCO pelancongan berkata malah pada tempoh berkenaan penduduk disaran menghadkan pergerakan serta tidak berada di luar sekiranya tiada urusan penting.

“Namun kita tidak menghalang sekiranya ada yang ingin berjalan. Tetapi pada waktu ini (PKPB) bukan waktu sesuai untuk kita promosikan pelancongan kerana kes di Selangor juga masih tinggi.

“Oleh itu, jangan abaikan tatacara operasi piawai dan elakkan tempat yang sesak,” kata Hee Loy Sian selepas majlis Penyerahan Bakul Makanan di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata aktiviti promosi akan dilakukan sekiranya negeri ini bertukar status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Selepas diumumkan, kita akan teruskan dengan kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! bagi membolehkan rakyat bercuti dalam negeri terlebih dahulu,” katanya.

16 Mac lalu, kerajaan mengumumkan Selangor masih kekal berada di bawah PKPB sehingga 31 Mac ini.


Pengarang :