NASIONAL

PM: PEMERKASA bernilai RM20 bilion kurangkan beban rakyat

SHAH ALAM, 17 MAC: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata pakej baharu itu turut membabitkan suntikan fiskal baharu kerajaan berjumlah RM11 bilion.

Antara pengumuman penting:

– Kerajaan mungkin tidak lagi perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh, sebaliknya kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja.

Bantuan untuk rakyat:

– Usahawan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terima bantuan sekali bayar sebanyak RM1,000. Permohonan menerusi Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 itu dibuka mulai 1 April bagi PKS yang tidak menerima GKP sebelum ini.

– Pembelian motosikal baharu dengan had sehingga RM10,000 bagi program TEKUN Mobilepreneur.

– Majlis Pekerjaan Negara (NEC) akan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan. Sehingga akhir Februari, 66,000 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.

– Bantuan tunai secara sekali bayar sebanyak RM600 kepada pengusaha inap desa yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

– Diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus akan dilanjutkan selama tiga bulan lagi sehingga 30 Jun depan.

– Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

– Subsidi RM300 khusus untuk isi rumah yang mempunyai anak bersekolah bagi pembelian telefon pintar atau peranti baharu.

– Bayaran sebanyak RM500 kepada golongan B40 yang telah hilang pendapatan.

– Bayaran tambahan sebanyak RM500 kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.

– RM100 juta diperuntuk bagi program bantuan barangan dapur kepada golongan miskin bandar.

– Jumlah bantuan eBelia naik daripada RM100 kepada RM150.


Pengarang :