Presiden Parti KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PN kekalkan kuasa guna pelbagai cara, ugut ahli parlimen

SHAH ALAM, 16 MAC: Perikatan Nasional (PN) sanggup menyalah guna kuasa menekan beberapa ahli parlimen bagi mengekalkan kedudukan susulan tidak memiliki jumlah majoriti membentuk kerajaan, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PN juga menggunakan pihak berkuasa seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai senjata menarik sokongan.

“Dalam kes terbaharu…kalau lompat (parti) siasatan (terhadap ahli parlimen) ditangguh atau tutup. Kalau tak lompat, ahli parlimen itu akan didera. Mereka gunakan cara ini untuk mendera ahli parlimen yang tak mahu bersekongkol.

“Selain Natrah Ismail (Sekijang), ahli parlimen Padang Serai, Sungai Siput, Putatan dan Miri menyebut mereka dihubungi, diberi ugutan dan dipelawa dengan pelbagai sogokan,” katanya pada sidang media hari ini.

Berbanding Pakatan Harapan (PAKATAN), presiden KEADILAN itu menegaskan mereka tidak pernah menyokong individu yang mengamalkan jenayah rasuah selain memastikan bayaran cukai dilakukan.

“Kita tak berganjak dengan prinsip. Kita tak pertahan mana-mana pimpinan dari rasuah sama ada dari KEADILAN atau PAKATAN,” katanya.

Jelas Anwar lagi, meskipun mampu menarik sehingga enam ahli parlimen, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih tidak dapat memiliki majoriti sokongan.

“Kita minta menteri kanan untuk buat kira-kira. Sekarang dapat tiga (ahli parlimen), jika dapat enam pun masih belum cukup 110 (kerusi),” katanya.

 


Pengarang :