Dato’ Arjunaidi Mohamad (kanan) pada sidang media mengenai kejayaan rampasan dadah dan menumpaskan dua makmal dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 14 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis Selangor tumpas sindiket dadah, rampas lebih RM3 juta syabu

SHAH ALAM, 3 MAC: Polis Kontinjen Selangor menumpaskan sindiket pengedaran dadah untuk pasaran Lembah Klang dengan menahan tiga lelaki serta merampas 69.065 kg dadah jenis methamphetamine bernilai RM3.1 juta dalam tiga serbuan berasingan di Serdang dan Ampang Jaya.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor yang membuat ketiga-tiga serbuan pada 26 Feb lepas berjaya menahan kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 38 tahun.

“Hasil siasatan yang dijalankan polis mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak awal tahun ini dan dadah tersebut dipercayai diperoleh dari negeri pantai timur yang dibawa masuk dari negara jiran di utara semenanjung,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata siasatan awal terhadap kesemua suspek yang berperanan sebagai penghantar dadah mendapati mereka ditawarkan upah sebanyak RM10,000 untuk setiap penghantaran yang dilakukan.

Arjunaidi berkata pada serbuan pertama, polis menahan dua lelaki di Serdang dan merampas satu beg kanvas berisi 10 bungkus plastik disyaki dadah jenis syabu dalam sebuah kenderaan pelbagai guna Naza Citra manakala dalam serbuan kedua seorang suspek lelaki juga ditahan di Serdang.

Katanya susulan tangkapan ketiga-tiga suspek, polis melakukan serbuan ketiga pada hari yang sama dan merampas sebanyak tiga beg berisi 60 bungkusan dadah yang juga disyaki syabu yang disimpan di dalam sebuah kereta Perodua Myvi di hadapan sebuah rumah di Ampang Jaya.

Katanya saringan awal yang dijalankan mendapati hanya seorang suspek yang positif methamphetamine dan amphetamine dan semakan juga mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

“Kesemua mereka ini berperanan sebagai pihak yang membawa dan menerima dadah yang akan dipasarkan di Lembah Klang dan kita akan menjalankan siasatan lanjut mengenai rangkaian sindiket ini,” katanya.

Ketiga-tiga suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari mulai 27 Feb hingga 5 Mac. Kes diklasifikasikan dan siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :