Anggota polis Cawangan Pengurusan Saman Koperal Adilah Mohamed@Ahadiah menunjukkan aplikasi MyBayar Saman ketika Majlis Pelancaran Portal dan Aplikasi Mobile MyBayar Saman di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 25 Mac 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis tawar 50 peratus diskaun saman trafik sehingga 11 April

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Rakyat Malaysia yang mempunyai saman kompaun trafik polis boleh menikmati tawaran diskaun sehingga 50 peratus bermula hari ini hingga 11 April menerusi portal dan aplikasi ‘MyBayarSaman’.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata tawaran itu diberikan kepada mereka menerusi pendaftaran portal dan aplikasi mudah alih ‘MyBayar Saman’ bagi memberi kemudahan melunaskan kompaun saman trafik secara dalam talian.

Beliau berkata tawaran diskaun itu bagaimanapun tidak terpakai untuk kesalahan utama trafik antaranya melanggar lampu isyarat merah; memandu melebihi had laju ditetapkan; memotong garisan berkembar; menggunakan telefon semasa memandu dan memandu di lorong kecemasan.

“Menerusi aplikasi ini orang awam dapat melakukan pembayaran secara dalam talian tanpa perlu beratur bersesak di kaunter-kaunter bayaran sedia ada sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata dalam demikian pada sidang media selepas melancarkan sistem bayaran saman secara dalam talian (MyBayar Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata aplikasi itu dilihat akan mendapat sambutan ekoran wabak Covid-19 yang menyebabkan orang ramai lebih selesa melakukan urusan secara dalam talian sekali gus mencapai objektif polis menutup secara berperingkat semua kaunter bayaran tunai.

Beliau berkata pada masa ini polis merekodkan pencapaian bayaran tanpa tunai yang rendah berbanding agensi kerajaan dan kementerian yang lain.

“Polis hanya mencatat 18.5 peratus (bayaran tanpa tunai) pada tahun lepas berbanding purata pencapaian keseluruhan sektor awam iaitu sebanyak 62.9 peratus,” katanya yang turut berharap kewujudan aplikasi itu dapat menggurangkan kebergantungan kutipan polis menerusi agensi swasta.

Beliau berkata pengenalan aplikasi itu secara langsung memberikan orang awam kebebasan membayar saman tanpa had masa ditetapkan malahan tiada caj perkhidmatan dikenakan semasa melakukan transaksi bayaran.

“Sejak mula digunakan pada 12 tengah malam tadi lebih RM1 juta berjaya dikutip menerusi bayaran dalam talian itu. Kami menyasarkan kutipan itu akan menjadi penyumbang kepada sasaran RM500 juta kutipan tahun ini, ” katanya.

Abdul Hamid berkata sepanjang tempoh 30 tahun sejak tahun 1990 hingga tahun lepas, lebih RM6.6 bilion iaitu 68 peratus saman berjaya dikutip manakala 32 peratus lagi belum dilunaskan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata pihaknya merancang untuk menambah mod bayaran secara e-dompet dan tidak terhad kepada pembayaran kompaun saman.

Orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian MyBayar Saman dengan melayari portal rasmi polis atau pautan https://mybayar.rmp.gov.my manakala bagi aplikasi mudah alih perlu memuat turun menerusi Google Playstore atau Apple Store serta mendaftar sebagai pengguna sebelum bayaran dapat dibuat.

– BERNAMA


Pengarang :