Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Polis tumpaskan sindiket pelaburan palsu, tahan 21 individu

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Polis menumpaskan empat sindiket skim penipuan pelaburan menggunakan media sosial antaranya melibatkan bitcoin apabila menahan 21 orang dalam beberapa siri operasi di lima negeri pada Februari dan awal Mac.

Empat sindiket penipuan terbabit ditumpaskan dalam serbuan di sekitar Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kelantan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob menerusi satu kenyataan semalam berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada 18 lelaki dan tiga wanita, kesemuanya warga tempatan.

Polis turut merampas pelbagai item antaranya 28 telefon bimbit; 17 kad Mesin Teler Automatik (ATM); 11 kad kredit ; satu kad big pay ; dua set komputer; tiga komputer riba; satu tablet; tiga modem; sembilan set dokumen SSM; dua buku cek; satu cop perniagaan serta wang tunai berjumlah RM11,930.

Zainuddin berkata siasatan polis mendapati modus operandi yang digunakan ahli sindiket ialah memulakan hantaran iklan tawaran pelaburan melalui platform media sosial seperti Facebook dan WhatsApp dan mangsa yang tertarik akan mula mengikut arahan sindiket untuk menyertai pakej pelaburan dengan modal rendah tetapi menjanjikan pulangan berganda dalam tempoh singkat.

“Mangsa yang tamak kemudiannya akan melabur dalam jumlah yang lebih besar agar mendapat keuntungan yang lebih tinggi dan sindiket pelaburan ini akan memutuskan perhubungan komunikasi dengan mangsa setelah mendapat jumlah pelaburan yang besar,” katanya.

Sehubungan itu polis menasihatkan orang ramai agar jangan mudah percaya dengan iklan-iklan promosi pelaburan di media sosial serta membuat pengesahan akaun dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun itu pernah terlibat dalam kes penipuan atau tidak.

Orang ramai juga boleh menghubungi “CCID Scam Response Center” di talian 03 26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai maklumat mengenai sindiket penipuan yang terdapat di media sosial.

Sementara itu dalam kes berasingan, empat orang terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki berusia antara 21 hingga 42 tahun ditahan dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, Isnin lepas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tidak wujud.

Zainuddin berkata polis merampas 10 unit telefon bimbit; sebuah buku catatan berkaitan pinjaman wang tidak wujud; satu salinan dokumen sewa rumah dan lima kad ATM pelbagai bank.

“Siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sekitar sebulan lepas dan menawarkan pinjaman wang tidak wujud dengan menghubungi mangsa menerusi telefon atau menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp.

Setelah berjaya menghubungi mangsa, sindiket akan menghubungi mangsa dan mengarahkan mangsa membuat bayaran yuran pendahuluan seperti yuran guaman, perjanjian, insurans, kenaikan kredit dan sebagainya dan apabila bayaran dibuat, sindiket ini akan memutuskan hubungan dengan mangsa,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :