Peniaga menyiapkan tempahan makanan melalui Plats dan Grab pada program e-Dapur Selangor di Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Program e-dapur diteruskan lagi, guna cara berbeza

SHAH ALAM, 23 MAC: Program e-Dapur Selangor akan diteruskan tahun ini dengan kaedah berbeza bagi membantu peniaga menjana pendapatan terutama ketika Ramadan.

EXCO pembangunan usahawan berkata pelaksanaan yang ditambah baik selaras situasi semasa Covid-19 turut melibatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jika sebelum ini peniaga dikumpulkan di dapur berpusat tetapi kali ini kita minta PBT senaraikan lima kedai makan terpilih untuk menyertai program tersebut.

“Peniaga juga akan dibantu Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) bagi menambah baik perniagaan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Pada 6 Mac, Dato’ Menteri Besar berkata program e-Dapur Selangor yang memberi manfaat kepada peniaga diteruskan sepanjang masa, tidak terhad ketika Ramadan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pembukaan bazar Ramadan tahun ini juga bergantung kepada keadaan semasa dengan tatacara operasi piawai ketat.

Program berkenaan antara inisiatif pendigitalan sejak April tahun lalu bagi membantu usahawan meneruskan perniagaan dalam talian bagi memperluaskan akses pasaran.

Melalui kerjasama Grab dan Platform Selangor (Plats), ia berjaya membantu 133 usahawan dengan jumlah jualan mencecah RM1.5 juta.


Pengarang :