Penumpang Bas Smart Selangor mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) penjarakan fizikal ketika menaiki perkhidmatan itu di Hentian Bas Seksyen 13, Shah Alam pada 5 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rakyat sokong warga asing naik Bas Smart Selangor dicaj 90 sen

SHAH ALAM, 6 MAC: Rakyat bersetuju dengan langkah Kerajaan Negeri mengenakan caj 90 sen kepada warga asing ketika menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor bermula 15 Mac ini.

Nurul Fatihah Mazri, 26, berkata langkah itu adalah perkara biasa sesebuah kerajaan bagi membezakan keistimewaan antara warganegara dan rakyat asing.

Nurul Fatihah Mazri

“Kalau kita ke luar negara, memang ada negara yang mengenakan caj berbeza sekiranya menggunakan kemudahan mereka, termasuk bas ataupun tempat-tempat pelancongan.

“Oleh itu, tindakan Kerajaan Negeri supaya warga asing perlu membayar tambang untuk menaiki Bas Smart Selangor adalah normal dan patut dilaksanakan segera,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Seorang warga emas, Tan Yee Lin berkongsi pengalaman terpaksa berasak-asak dengan warga asing ketika menaiki bas untuk menyelesaikan urusan penting di tempat lain.

Tan Yee Lin

Wanita berusia 76 tahun itu berkata beliau sudah menggunakan bas berkenaan sejak 2015 selepas Kerajaan Selangor mengumumkan kemudahan pengangkutan percuma itu.

“Memang seronok tak payah bayar tambang, tapi kadangkala susah juga bila ada ramai warga asing hendak naik. Kadangkala terpaksa berebut, tak semua boleh tolak ansur dengan orang tua kerana ada juga yang sengaja tidak berikan laluan.

“Saya rasa selepas mereka kena bayar tambang bas, mungkin tak ramai yang mahu naik dan saya pun tak perlu lagi berebut,” katanya.

Pendapat Yee Lin turut disokong Nur Alisa Syafiah Zulkarnain, 19, yang berulang alik dari Seksyen 27 ke Plaza Alam Sentral untuk ke tempat kerja.

Nur Alisa Syafiah Zulkarnain

Beliau beranggapan caj yang bakal dikenakan kepada kumpulan itu akan mengurangkan kesesakan yang dialami.

“Bukan kita tak beri mereka naik bas, tetapi bila caj dikenakan, mungkin mereka tidak lagi akan berasak-asak terutama pada cuti hujung minggu atau perayaan.

“Lagipun pengangkutan awam ini percuma, siapa tidak mahu gunakan. Jadi apabila ada caj dikenakan, mungkin kesesakan juga dapat diatasi,” katanya.

Bagi Magisvary Gopalsamy, 65, beliau berpendapat tambang yang dikenakan untuk warga asing itu amat rendah berbanding keselesaan yang diberikan Bas Smart Selangor.

Magisvary Gopalsamy

“Bas ini ada penghawa dingin, bersih dan tidak pernah kotor. Jadi dengan harga 90 sen itu amat berbaloi jika orang luar bayar. Malah, wang yang diperoleh pihak pengurusan bas akan digunakan kembali untuk naik taraf bas ini.

“Lagipun sudah terlalu lama kita beri tambang secara percuma kepada mereka, memang saya amat setuju supaya tambang dikenakan kepada golongan berkenaan,” katanya.

Nazatul Hafikah Abin

Nazatul Hafikah Abin, 27, yang berasal dari Sabah pula tidak sangka Selangor menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk dan warga asing sebelum ini.

Baru dua bulan menggunakan pengangkutan awam itu, beliau mendapat tahu selepas 15 Mac depan hanya rakyat tempatan yang boleh menikmati tambang percuma.

“Tapi pada saya tambang 90 sen itu sangat murah, rasanya lebih murah dari bas lain. Jadi kemungkinan besar ia tidak membebankan mereka.

“Kadangkala ada di antara warga asing ini mempunyai peruntukan khas dari majikan bagi kos tambang untuk ulang alik ke tempat kerja,” katanya.

K Mahaletchiumy

Manakala pelajar Kolej MSU Shah Alam, K Mahaletchiumy, 22, berpendapat caj boleh kenakan tetapi tidak terlalu mahal kerana rata-rata warga asing yang menggunakan bas itu untuk ke tempat kerja.

“Memang langkah ini tidak salah, tetapi saya harap kerajaan tidak menaikkan tambang ini setiap tahun kerana mungkin ada majikan yang tidak mahu menanggung kos pengangkutan mereka,” katanya.


Pengarang :