RENCANA

Rangkaian pasar raya tempatan ke arah sifar plastik

Oleh Soon Li Wei

PETALING JAYA, 18 MAC: Pergilah ke mana-mana pasar raya atau kedai runcit pada masa sekarang dan pastinya anda akan mendapati sejumlah makanan siap dibungkus dalam bungkusan plastik.

Makanan itu boleh jadi buah-buahan, sayur-sayuran, makanan atau snek tetapi cuba bayangkan semua sisa plastik itu akan berakhir di kawasan pelupusan sampah.

Menurut Persatuan Pekilang Plastik Malaysia, purata rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 300 beg plastik dalam setahun tetapi pakar alam sekitar dan pakar pengurusan sisa menganggarkan rata-rata rakyat Malaysia mengguna antara tiga hingga lima beg plastik sehari.

Dalam laporan bertajuk “Pembungkusan Plastik di Asia Tenggara dan China” yang dikeluarkan oleh World Wide Fund for Nature pada Februari 2020, Malaysia berada dalam senarai tertinggi di kalangan enam negara yang dikaji dari segi penggunaan pembungkusan plastik per kapita tahunan, pada kadar 16.78 kilogram setiap orang.

The Food Purveyor, yang mengendalikan rangkaian Pasaraya Village Grocer dan Ben’s Independent Grocer (B.I.G) memulai inisiatif baru yang tertumpu kepada Bebas Plastik menjelang 2023, bagi menghentikan penggunaan 30 juta pembungkusan dan beg plastik sekali pakai mulai tahun ini.

Beg jaring kitar semula

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada matlamat kelestarian persekitaran oleh The Food Purveyor yang bertujuan untuk menghentikan penggunaan semua plastik sekali-pakai daripada operasi perniagaan mereka sebelum akhir 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif The Food Purveyor, Geoff King berkata ia melibatkan pemberhentian penggunaan pembungkus plastik sekali pakai dari bahagian hasil segarnya serta memperkenalkan beg jaring yang akhirnya mengganti gulungan pembungkus plastik yang disediakan untuk pelanggan memasukkan buah dan sayur mereka.

“Pembungkus plastik ini sering digunakan sekali sahaja untuk membawa pulang buah-buahan dan sayur-sayuran dari kedai runcit dan kemudian terus dibuang begitu sahaja hingga membawa bahaya kepada alam sekitar,” kata King kepada Bernama.

Beliau berkata, The Food Purveyor berjaya menghapuskan keperluan enam juta beg plastik setahun setelah pasar raya mereka berhenti menyediakan beg pembawa plastik percuma kepada pelanggan di kaunter pembayaran mulai tahun lepas. Dan mulai 15 Feb tahun ini pasar raya menghentikan sepenuhnya penggunaan beg berkenaan.

Katanya, kedai mereka menangani isu sampah plastik dengan menawarkan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam bentuk lambak dan menggantikan pembungkusan plastik sekali pakai dengan pembungkusan yang lebih lestari.

“Kami juga menggalakkan pelanggan kami agar membawa sendiri beg membeli-belah untuk mengisi barang segar yang dibeli dan sebagai balasan kami menghadiahkan 50 mata ganjaran (bersamaan RM0.50) setiap kali mereka berbuat demikian,” katanya.

Tahun ini, pasar raya kami menyasarkan untuk mengurangkan lagi 20 juta lagi beg produk sekali pakai.

“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan penjimatan lebih dari 30 juta pembungkusan dan beg plastik sekali-pakai dalam setahun,” tambahnya lagi.

Komited

King berkata, The Food Purveyor amat tegas dalam komitmen mereka untuk menghentikan penggunaan pembungkus plastik sekali pakai dan menggalakkan pelanggan beralih kepada penggunaan beg lestari untuk barang hasil segar.

Beliau berkata, buah-buahan dan sayur-sayuran selalunya dibungkus dalam plastik manakala daging dan ikan selalunya diletakkan atas pelapik dan berbalut dengan “cling wrap”.

Namun, tambah beliau, sesetengah pembekal kini memilih untuk membungkus sayur-sayuran dan ramuan mereka dalam daun pisang dan meletakkannya di dalam balang kaca di mana ia disembur dengan air secara berkala untuk mengekalkan kesegaran.

“Ini adalah langkah pertama yang diambil oleh beberapa pembekal kami untuk menyokong inisiatif sifar plastik kami dan semoga lebih banyak pembekal akan mengikuti jejak mereka,” katanya.

King juga berkata, kebanyakan balang yang digunakan untuk meletakkan buah-buahan dan sayur-sayuran adalah jenis yang biodegradasi.

Bagaimanapun, penggunaan pembalut plastik tidak boleh dihentikan dengan sepenuhnya di bahagian daging, ikan dan hasil laut segar pasar raya.

“Walaupun kita sama sekali tidak boleh berhenti mengguna plastik untuk membungkus daging dan makanan laut, sekurang-kurangnya kita menggantikannya dengan bekas polisterin dengan yang biodegradasi,” katanya dan menambah The Food Purveyor sedang bekerjasama dengan pengeluar yang menggunakan pembungkusan biodegradasi atau sifar sisa dalam misi sifar plastik.

Sokong perniagaan sifar sisa

Sementara itu, Zero Waste Malaysia pengasas bersama Khor Sue Yee berkata, kesedaran mengenai bahaya yang ditimbulkan oleh sampah plastik menyebabkan beberapa pasar raya dan kedai runcit mewujudkan persekitaran membeli-belah sifar sisa untuk rakyat Malaysia.

“Ini adalah permulaan yang baik untuk pasar raya besar seperti Village Grocer dan B.I.G dan semoga yang lain akan mengikutinya,” katanya dan menambah pasar raya berkenaan juga menyediakan “bangsal pukal” di mana pelanggan dapat membeli biji-bijian, rempah dan makanan ringan menggunakan bekas mereka sendiri.

Beliau berkata, apabila lebih ramai orang menyedari perlunya melindungi alam sekitar dan memilih untuk berbelanja di kedai bebas pembungkusan plastik, industri runcit akan memperhatikan trend itu dan tidak lama kemudian trend membeli-belah sifar sisa akan menjadi kebiasaan.

“Malahan, kebanyakan kerajaan negeri menyatakan sokongan untuk pelaksanaan kempen ‘Tanpa Beg Plastik’ dan menggalakkan pengguna membawa sendiri beg bukan sahaja ke pasar raya malah pasar basah,” katanya.

Sebagai duta tanpa sampah, Khor berharap rakyat Malaysia akan lebih peka tentang penggunaan dan apa yang mereka beli.

“Contohnya, banyak sumber, tenaga dan usaha digunakan untuk menghasilkan sesuatu yang mudah seperti balang kaca. Lebih berhati-hati dengan pembungkusan, tenaga dan air yang kita gunakan. Hanya guna berapa yang diperlukan dan jangan membazir,” tambah beliau.

-BERNAMA


Pengarang :