Ng Sze Han menjawab pertanyaan ketika sesi temu bual bersama Media Selangor di pusat pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 11 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Rapat jurang digital, 100 penduduk B40 DUN Kinrara terima komputer riba

SHAH ALAM, 24 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menyumbang 100 komputer riba kepada penduduk sebagai langkah merapatkan jurang pendigitalan.

Wakil rakyat Ng Sze Han berkata bantuan diutamakan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi memudahkan urusan pembelajaran anak-anak penerima.

“Sebanyak 500 permohonan diterima namun setakat ini hanya 100 keluarga layak mendapat bantuan itu.

“Kita akan melawat rumah pemohon dan lakukan penelitian lanjut. Ini antara kaedah memastikan golongan sasar yang terima manfaat,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan program Dapur Kinrara diperkenalkan tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Menurut Sze Han, pihaknya mengutamakan program terbabit memandangkan manfaat lebih besar diterima penduduk.

“Setiap Ahad dari jam 12 hingga 2 petang kita agihkan makanan tengah hari percuma kepada golongan memerlukan dan terbaharu pada minggu lalu kita sediakan lebih 200 bungkus,” katanya.


Pengarang :