EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah (tengah) bersama artis budaya pada penggambaran program Rentak Selangor 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook pada 28 Februari 2021. Foto ihsan Borhan Aman Shah
BERITA UTAMASELANGOR

Rentak Selangor raih lebih 60,000 tontonan di Facebook

SHAH ALAM, 1 MAC: Program Rentak Selangor yang menampilkan pelbagai persembahan seni dan budaya komuniti negeri ini berjaya meraih 62,000 tontonan ketika ditayangkan secara langsung di Facebook malam tadi.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata jumlah itu disifatkan sebagai luar biasa berikutan julung kali dianjurkan secara langsung dalam format baharu melalui media sosial.

“Program ini berjalan sempurna seiring usaha Kerajaan Negeri untuk meneroka inisiatif pendigitalan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat khususnya generasi akan datang.

“Usaha ini dijalankan bagi membantu mempromosi kepelbagaian seni dan budaya Selangor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya kepada SelangorKini.

Program bersiaran lebih sejam itu menyajikan persembahan komuniti Melayu, Cina, India dan orang asal seperti seni muzik cempuling, angklong, Gordang 9 serta tarian singa.

Wakil rakyat Tanjung Sepat yakin program seperti itu mampu membantu artis budaya di Selangor untuk meneruskan kelangsungan dalam norma baharu.

Menurutnya, ia juga memberi santapan minda kepada rakyat terutama generai muda yang bakal mewarisi peradaban dan warisan ditinggalkan kepada mereka.

“Justeru, saya menyeru kepada semua rakyat negeri ini supaya bersama-sama menghayati, menikmati, dan meraikan seni warisan budaya kita,” katanya lagi.

Rentak Selangor diperkenalkan sejak 2016 sebagai usaha menyemarak seni, budaya dan warisan dengan menyediakan landasan persembahan.

Ia turut menyediakan ruang kepada tokoh warisan budaya dan penggiat seni budaya dari pelbagai komuniti di Selangor untuk berkongsi ilmu.


Pengarang :