Anggota keselamatan melakukan pemeriksaan dokumen perjalanan rentas negeri di sekatan jalan raya (SJR) ketika tinjauan di Plaza Tol Bandar Ainsdale berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 13 Mac 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rentas negeri masih dilarang meski dalam zon hijau

KUALA NERUS, 20 MAC: Aktiviti rentas negeri masih tidak dapat dibenarkan meskipun antara kawasan hijau, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata setakat ini, kebenaran merentas negeri hanya diberikan secara bersyarat iaitu perjalanan bagi tujuan pelancongan melalui agensi pelancongan dan bukan perjalanan secara individu memandangkan Kementerian Kesihatan (KKM) masih lagi ‘sensitif’ berhubung kebenaran rentas negeri kerana aktiviti itu pada Disember lepas pernah merekodkan 32 kluster baharu Covid-19.

“Sekarang ini hanya perjalanan melalui agensi pelancongan sahaja yang dibenarkan sebab kita akan tahu perincian perjalanan. Kalau pergi dengan syarikat pelancongan, perjalanan mereka akan dimaklumkan kepada polis, polis akan tahu kawasan mana mereka pergi dan jadual perjalanan mereka pun sudah ada.

“Tetapi kalau kita benarkan pergi sendiri, contohnya Perak kawasan hijau, Kedah kawasan hijau, Langkawi pun (kawasan) hijau. Katakan orang Perak hendak ke Langkawi, dia terpaksa melalui Pulau Pinang. Bagaimana kita hendak tahu dia betul-betul ke Langkawi? Siapa tahu sekiranya dia bercuti ke Pulau Pinang,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para) di Kem Sri Pantai Seberang Takir di Kuala Nerus di sini hari ini.

Ismail Sabri sekali lagi menegaskan tiada sesiapa pun termasuk golongan berstatus VIP akan terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati melanggar peraturan atau tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19.

Beliau berkata sebelum ini pun, tindakan undang-undang telah dikenakan terhadap beberapa golongan VIP seperti menteri dan timbalan menteri kerana didapati melanggar SOP.

Ismail Sabri juga berkata setakat ini, seramai 21,791 anggota tentera telah menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi fasa pertama melibatkan anggota yang bertugas di barisan hadapan seperti di sekatan jalan raya serta yang bertugas di luar negara seperti Lubnan dan Filipina.

-BERNAMA


Pengarang :