Aliran trafik lancar di kedua-dua arah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara kecuali kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ketika tinjauan pada 12 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rentas negeri sumbang 3,170 kes Covid-19 sejak awal tahun

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Malaysia merekodkan 3,170 kes Covid-19 rentas negeri setakat hari ini sejak 1 Januari lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah tersebut, Kedah mencatatkan kes tertinggi sepanjang tempoh itu iaitu 714 kes diikuti Perak, 582 kes dan Negeri Sembilan, 370 kes.

“Kluster-kluster rentas negeri turut menunjukkan peningkatan sejak gelombang ketiga bermula iaitu pada 20 September 2020.

“Kluster rentas negeri merupakan kluster yang melibatkan kes indeks atau kes pertama yang dikesan mendapat jangkitan Covid-19 dari negeri lain, dan seterusnya mengakibatkan penularan jangkitan tempatan,” katanya dalam kenyataan perkembangan situasi Covid-19 di sini hari ini.

Berikutan peningkatan kluster-kluster rentas negeri ini, kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri bermula pada 13 Januari lepas.

Setelah larangan tersebut dilaksanakan selama beberapa bulan, pelaporan kes-kes baharu harian negara yang melibatkan kluster rentas negeri mula menunjukkan penurunan secara konsisten dengan kluster terakhir dilaporkan pada 30 Januari 2021 iaitu Kluster Tersat di Terengganu.

“Sehingga kini, terdapat tiga kluster rentas negeri yang masih aktif iaitu Kluster Tembok Mempaga, Kluster Tembok Bukit Besi, dan Kluster Pasai,” katanya.

Kes dan kluster rentas negeri ini bukan sahaja mengakibatkan penularan jangkitan kepada kawasan zon hijau, malah aktiviti seperti pulang ke kampung juga meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak.

Sehubungan itu Dr Noor Hisham berkata rakyat perlu sentiasa patuh kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang telah digariskan termasuklah kepatuhan terhadap larangan merentas negeri kecuali kerana perkara penting dan perlu mendapat kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

-BERNAMA


Pengarang :