Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat. Foto Arkib Selangorkini
ADNSELANGOR

Ribuan kilang tanpa kebenaran terima notis patuh syarat operasi

SHAH ALAM, 14 MAC: Sebanyak 1,800 notis program pematuhan syarat dan penguatkuasaan dihantar kepada pemilik kilang tanpa kebenaran sekitar Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Wakil rakyat Rawang berkata usaha mulai awal bulan ini susulan premis beroperasi tanpa lesen, tiada kebenaran merancang atau kelulusan bangunan dan masalah hak milik tanah.

“Pertemuan bersama Jabatan Perancangan Bandar MPS dibuat untuk memahami arahan tersebut sekali gus membantu memudahkan proses kelulusan kilang yang menjalankan pelbagai aktiviti.

“Mereka perlu diberi penjelasan terperinci sebelum tindakan lanjut supaya penyelesaian menang-menang dapat dicapai,” kata Chua Wei Kiat menambah sebahagian besar kilang berada dalam kawasan pentadbirannya.

Beliau berkata pengusaha kilang tidak perlu khuatir terhadap notis berkenaan sebaliknya dinasihat memberi kerjasama bagi mengelak tindakan lebih tegas.

“Inisiatif ini penting bagi memastikan kilang berkenaan dapat dipantau sepanjang masa sekali gus mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar,” katanya lagi.


Pengarang :