Penduduk, Juliana Mat Disa, 32, melihat keadaan pejabat kontena yang terbalik akibat ribut di Taman Seroja Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Sepang pada 8 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ribut Sepang: Bencana terburuk, penduduk trauma

SHAH ALAM, 9 MAC: Bencana ribut melanda sekitar Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) disifatkan antara yang terburuk dan mendatangkan kesan trauma buat penduduk di kawasan itu.

Nor Khairun Mohd, 39, berkata beliau dan keluarga menetap di Pangsapuri Dahlia hampir 13 tahun dan belum pernah berdepan kejadian buruk itu.

“Ketika kejadian angin sangat kuat sehingga kaca pintu gelangsar (sliding door) pecah dan menyebabkan kaki saya luka. Memang tidak dinafikan kami sekeluarga trauma nak balik rumah.

Mohd Afiq Abdullah

“Bagaimanapun, terima kasih Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) sudi melawat, diharap Kerajaan Negeri dapat beri peruntukan memadai untuk bantu baik pulih rumah kami yang rosak,” katanya ketika ditemui.

Mohd Afiq Abdullah, 34, mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Selangor yang sudi melawat mangsa dan beri bantuan segera.

“Namun, kami berharap rumah dapat dibaik pulih atau beri penempatan sementara kerana agak kasihan untuk mangsa yang terpaksa menetap di hotel,” katanya.

Sementara itu, Juliana Mat Disa, 32, pula berkata beliau dan suami terpaksa menetap di hotel sementara waktu berikutan banyak peralatan rumahnya terjejas dilanda ribut.

“Bumbung rumah saya diterbangkan angin, lampu tidak berfungsi dan pintu pecah. Kejadian ribut itu berlaku depan mata saya hingga memberi kesan trauma,” katanya yang sudah menetap lima tahun di Pangsapuri Dahlia.

Nor Khairun Mohd

Pada 6 Mac lalu, 120 rumah sekitar BBST dan Pekan Salak rosak selepas dilanda ribut akibat hujan lebat yang berlaku kira-kira jam 5 petang.

Kawasan perumahan terjejas adalah Taman Seroja melibatkan 17 rumah, Taman Dahlia (19), Aparment Casa Dahlia (28), Taman Mawar Perdana, Kampung Salak Tengah (7) dan Kampung Baru Pekan Salak (20).

Turut mengalami kerosakan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja, SK Salak, SK KLIA dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Salak Tinggi.


Pengarang :