Penghantar barangan Seldec mengangkat beg selepas pelancaran portal Rantaian e-Bekalan Digital Selangor dan aplikasi Seldec Rider di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

RiDE: MSN, pejabat DUN kerjasama kenal pasti golongan sasar

SHAH ALAM, 16 MAC: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan bekerjasama dengan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menjayakan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE).

Pengarah eksekutifnya berkata usaha itu bagi mengenal pasti golongan yang benar-benar layak mendapat manfaat dan bekerja dalam sektor e-panggilan.

“Selain kerjasama dengan pejabat DUN, kita juga boleh mendapat khidmat Penggerak Belia Tempatan Selangor untuk mengenal pasti golongan sasar,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata seramai 500 individu menerima manfaat program RiDE dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Jelasnya, masih banyak kekosongan yang perlu diisi bagi memenuhi sasaran 3,000 peserta, justeru mengalu-alukan orang ramai membuat permohonan.

Program RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, wang tunai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Pada 14 Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari berkata seramai 1,980 individu mendapat manfaat program itu sejak dilancarkan pada 1 Ogos tahun sama.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM2 juta bagi meneruskan inisiatif berkenaan. Permohonan boleh dibuat melalui pautan http://msnselangor.gov.my .


Pengarang :