Selangorkini
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka 4.1115/1165 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Ringgit tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari kedua berturut-turut ketika dibuka pada Selasa berikutan dagangan kekal lemah menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) pada 16 dan 17 Mac.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1115/1165 berbanding dolar AS daripada 4.1110/1160 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata bagaimanapun ringgit telah disokong oleh langkah swap kadar faedah (IRS) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang berkuat kuasa pada Isnin.

“Langkah bank pusat itu akan membolehkan pelabur melindungi nilai portfolio bon secara lebih baik, memandangkan akses bank-bank dalam negara kepada pasaran derivatif yang dibenarkan ini akan menambah mudah tunai yang amat diperlukan dalam pasaran IRS Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Pada Rabu lepas, BNM mengumumkan bank bukan pemastautin boleh memperdagangkan IRS dalam denominasi ringgit tanpa sebarang komitmen asas dengan mana-mana bank tempatan dalam negara atau Pejabat Luar Negara Dilantik (AOO) mereka.

Innes berkata selain itu, langkah BNM tersebut akan turut menangani beberapa kebimbangan lindung nilai yang dialami pelabur asing.

Ini berikutan FTSE Russell dijangka mengeluarkan ulasan pendapatan tetap dua kali setahun pada 29 Mac, memandangkan Malaysia masih berada dalam situasi berwaspada bagi senarai dipantau untuk kemungkinan pengecualian, katanya.

“Saya berpandangan risiko yang lebih baik secara umum membantu ringgit,” katanya.

Pada awal dagangan, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding dengan dolar Singapura kepada 3.0548/0592 daripada 3.0558/0602 ketika ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding dengan euro kepada 4.9017/9093 daripada 4.9028/9106.

Unit tempatan juga stabil berbanding dengan yen Jepun kepada 3.7630/7687 daripada 3.7678/7727 serta tinggi berbanding dengan pound Britain kepada 5.7080/7162 daripada 5.7274/7361.

– BERNAMA


Pengarang :