AGENDAEKONOMINASIONAL

Ringgit dibuka 4.1130/1180 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Isnin selepas dolar mengukuh, dirangsang oleh hasil bon Amerika Syarikat.

Pada jam 9 pagi, ringgit lebih rendah berbanding dolar AS pada 4.1130/1180 daripada 4.1050/1100 ketika ditutup pada urus niaga petang Jumaat minggu lepas.

Menurut Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes, pergerakan ringgit akan terus memantau prestasi hasil AS serta momentum keluk inflasi yang tidak dapat dielakkan.

Hasil Perbendaharaan AS telah melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih daripada setahun daripada paras terendah yang dicatatkan pada 2020 sementara Rizab Persekutuan pula memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah pada paras hampir sifar untuk beberapa tahun akan datang dalam usaha merancakkan kembali ekonomi AS.

“Kenaikan dolar akan terus menguntungkan Perbendaharaan AS 10-tahun yang bergerak ke arah 2.25 peratus, dan yang demikian, unit tempatan perlu bertahan untuk sementara waktu,” kata beliau kepada Bernama.

Beliau turut menambah bahawa beliau kini lebih neutral terhadap pergerakan ringgit memandangkan kedua-dua komoditi dan saluran kadar menunjukkan beberapa cabaran jangka pendek.

Ketika ini, harga minyak mentah menyusut 1.24 peratus kepada US$63.74 setong.

Berbanding mata wang utama yang lain, ringgit diniagakan rendah kecuali berbanding pound Britain dengan unit tempatan meningkat kepada 5.6870/6944 daripada 5.7150/7228 pada Jumaat minggu lepas.

Ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0598/0647 daripada 3.0564/0603 pada Jumaat dan jatuh berbanding euro kepada 4.8879/8955 daripada 4.8813/8884.

Unit tempatan lebih rendah berbanding yen kepada 3.7762/7818 daripada 3.7712/7762.

– BERNAMA


Pengarang :