Selangorkini
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka 4.1210/4.1260 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Jumaat, menyusut daripada keuntungan yang diraih semalam di tengah-tengah kejatuhan harga minyak mentah dan peningkatan dalam kadar hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan merosot 120 mata asas kepada 4.1210/4.1260 berbanding dolar AS daripada 4.1090/1140 pada penutupan petang Khamis.

Laporan berita menyatakan penanda aras minyak mentah semalaman Brent jatuh 6.9 peratus kepada US$63.28 setong.

Menurut Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes, kelemahan harga minyak diheret oleh kebimbangan terhadap permintaan dan penawaran untuk jangka pendek dan panjang.

Sementara itu, beliau menambah hasil Perbendaharaan 10 tahun AS melonjak tujuh mata asas kepada 1.71 peratus pada Khamis, sekali gus mencatatkan paras tertingginya sejak 23 Januari, 2020.

Dalam pada itu, ketika urus niaga dibuka pagi ini, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0623/0667 daripada 3.0616/0663 sebelumnya dan lebih rendah berbanding yen Jepun pada 3.7783/7832 daripada 3.7677/7733 pada petang Khamis.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding pound Britain pada 5.7307/7380 daripada 5.7349/7452 tetapi tidak berubah berbanding euro kepada 4.9061/9137 daripada 4.9061/9138 sebelumnya.

– BERNAMA


Pengarang :