AGENDAEKONOMINASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.0520/0570 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Ringgit gagal mengekalkan peningkatannya sewaktu dibuka pada Khamis berikutan diniagakan rendah sebanyak 30 mata asas (bps) berbanding dolar AS susulan kekurangan minat belian, kata penganalisis.

Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan itu jatuh kepada 4.0520/0570 berbanding dolar AS daripada 4.0490/0530 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata sentimen kekal cenderung terhadap reaksi dolar AS yang lebih meluas kepada hasil Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi terutamanya jika kenaikan hasil AS mula mengatasi peningkatan hasil bon negara-negara lain.

“Ringgit ditutup dalam sentimen memuaskan semalam selepas kerajaan melonggarkan sekatan perjalanan di hampir seluruh negara.

“Harga minyak yang lebih tinggi hari ini akan mengimbangi kenaikan hasil AS untuk membolehkan ringgit diniagakan dalam julat semasa, namun dijangka lemah (sewaktu dibuka),” katanya kepada Bernama.

Innes berkata pelabur menantikan keputusan pengurangan output OPEC+ pada hari ini.

Setakat ini, minyak mentah Brent naik 0.22 peratus kepada US$64.21 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0407/0451 daripada 3.0446/0487 pada Rabu dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.6452/6538 daripada 5.6605/6673.

Unit tempatan itu naik berbanding euro kepada 4.8843/8907 daripada 4.8993/9058 dan menambah berbanding yen Jepun kepada 3.7855/7905 daripada 3.7877/7921.

– BERNAMA

 


Pengarang :